ARKIB : 12/12/2009
Malaysia tewaskan Thailand 2-1,
layak ke separuh akhir
VIENTIANE Malaysia melakar
kejutan terbesar apabila membenam juara bertahan, Thailand 2-1 pada perlawanan
terakhir Kumpulan A untuk melangkah ke separuh akhir, semalam.
Ahmad Fakri Saarani menjadi
pemusnah juara lapan kali berturut-turut Sukan SEA mulai 1983, Thailand apabila
menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua apabila mudah
menolak masuk bola hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha.
Thailand, yang tidak pernah gagal
ke separuh akhir Sukan SEA sejak 36 tahun lalu, iaitu mulai Sukan SEA 1963,
hampir menafikan hajat Malaysia apabila mendahului menerusi sepakan bebas
Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.
Namun, Mohd. Nasriq Baharom
berjaya mengimbangi kedudukan dengan gol penyamaan pada minit ke-80.
Kemenangan itu membolehkan
Malaysia muncul naib juara Kumpulan A dan akan bertemu juara Kumpulan B, Laos
pada perlawanan separuh akhir Isnin ini.
Juara Kumpulan A, Vietnam pula
bertemu naib Juara Kumpulan B, Singapura pada satu lagi separuh akhir.
Kali terakhir Malaysia memenangi
emas acara bola sepak Sukan SEA ialah 20 tahun lalu.
Mengulas kemenangan bermakna itu,
jurulatih kebangsaan K. Rajagobal berkata, dia memuji semangat para pemain yang
tetap tenang walaupun beraksi di bawah tekanan setelah ketinggalan di babak
kedua.
Katanya, tekanan memihak kepada
Malaysia kerana perlu menang sedangkan Thailand hanya perlu seri untuk layak ke
separuh akhir.
Saya bangga dengan semangat dan
kesungguhan yang ditunjukkan pemain terutama pada babak akhir, khusnya selepas
kita mendapat gol penyamaan.
Ketika kedudukan seri 1-1,
kelebihan masih memihak kepada Thailand, namun, pemain terus melakukan asakan
dan akhir berjaya menjaringkan gol kemenangan.
Apa yang kita capai hari ini
berbaloi dengan kesungguhan pemain yang beraksi bermati-matian untuk memburu
kemenangan, katanya.
Sementara itu, jurulatih
Thailand, Steve Darby, berkata, dia tiada alasan terhadap kekalahan pasukannya
kerana Malaysia bermain lebih baik.
Sepuluh minit terakhir
memusnahkan kami. Setelah Malaysia mendapat gol penyamaan, mereka tidak
henti-henti mengasak dan akhir memperoleh gol kemenangan.
Saya bertanggungjawab terhadap
kekalahan pasukan saya, katanya. Utusan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Ygm3S4aO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan