Ahad, 9 Disember 2018

3 bekas kapten sertai MU


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Tiga bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan sah menandatangani kontrak untuk mewakili Melaka United bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Shukor Adan, Safiq Rahim dan Razman Roslan akan bergandingan untuk membantu skuad kendalian Zainal Abidin Hassan meraih keputusan baik dalam liga tahun depan.

Tiga pemain itu bersama lima lagi Raimi Md Noor, Nazrin Nawi, Wan Amirul Afiq Abdul Rahman, R Gopinathan dan Saiful Riduwan Selamat menandatangani kontrak dengan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

MUSA diwakili presidennya yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari. Hadir sama Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden, Mohd Ashiq Abdul Samad dan Setiausaha Agung, Farhan Ibrahim.

Yusoff berkata, kehadiran pemain yang masih dominan dengan bola sepak negara itu membuktikan Melaka kian berada dalam radar pemain tempatan bertaraf bintang.

“Jika sebelum ini skuad Hang Tuah kurang menjadi tumpuan pemain terkemuka, namun ia sudah berubah. Justeru kehadiran mereka diharap mampu menjenama pasukan ini ke peringkat lebih tinggi.

“Usaha menarik penyertaan pemain berkualiti juga memberi impak terhadap prestasi pasukan dan sokongan peminat ke stadium,” katanya.

Malah penyertaan mereka juga melengkapkan pakej gabungan jitu membabitkan empat jurulatih berpengalaman membimbing United yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan negeri.

Selain Zainal, pembantunya termasuk bekas jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, bekas penjaga gol kebangsaan Mazlan Wahid dan pengendali Negeri Sembilan, Asri Ninggal.

Melaka juga diperkasakan dengan kehadiran bekas penjaga gol Hong Kong Rangers FC, Wong Tse Yang, Faris Shah Rosli, Ahmad Khuzimie Pee, Nurshamil Ghani dan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 12:11 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan