Ahad, 30 Disember 2018

JDT rancang testimoni buat Safiq, Antonio


MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai rancangan untuk mengadakan perlawanan testimoni buat dua tonggaknya, Safiq Rahim dan Marcos Antonio yang akan meninggalkan pasukan itu.

Perkembangan itu dimaklumkan pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Twitternya, semalam.

Jelas Tunku Ismail, perlawanan testimoni yang bakal dilangsungkan itu masih tertakluk kepada perancangan pramusim sebelum mengharungi saingan musim baharu.

“Memang ada perancangan untuk mengadakan perlawanan testimoni dan perlawanan amal tapi kita perlu menghormati jadual Piala AFF dan juga rehat yang sedang dinikmati pemain.

“Ia juga bergantung kepada perancangan pramusim oleh pengurus, Luciano Figueroa dan juga barisan pengutusan tapi perlawanan itu memang ada dalam perancangan kami,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata demikian ketika membalas pertanyaan seorang pelayar laman media sosial mengenai perancangan JDT untuk melangsungkan perlawanan testimoni buat bekas kapten dan bekas penolong kapten pasukan itu.

Safiq dan Antonio yang juga tonggak utama pasukan itu sah tidak akan terus bersama Harimau Selatan itu pada musim hadapan.

Kedua-dua pemain itu adalah antara mereka yang membantu JDT muncul kuasa besar bola sepak tempatan dan mencipta sejarah memenangi Piala AFC 2015.

Malah, mereka turut membantu pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Super musim ini sekali gus membolehkan JDT beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 4:40 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan