ARKIB : 09/12/2009
Pemain Malaysia, Mat Abu Mohd.
Sabre (tengah) menghalang kemaraan pemain Kemboja, So Seila pada perlawanan
menentang Kemboja di Sukan SEA XXV Laos, semalam.
VIENTIANE Skuad bola sepak
kebangsaan meraih tiga mata yang diperlukan dalam misi untuk ke separuh akhir
acara bola sepak Sukan SEA apabila menang 4-0 ke atas Kemboja di sini, semalam.
Bangkit pada separuh masa kedua
memastikan kemenangan besar buat skuad K. Rajagobal selepas dikekang lawan
dalam babak pertama.
Barisan serangan yang tumpul dan
jarang melakukan gerakan menarik, menyebabkan skuad negara terpaksa menunggu
sehingga minit ke-35 untuk menghasilkan gol pembukaan menerusi Abdul Manaf
Mamat
Jaringan itu menjadi detik
kebangkitan buat Malaysia apabila giliran Norshahrul Idlan Talaha menokok gol
kedua pada minit ke-76.
S. Kunanlan meledak gol ketiga
pada minit ke-81 untuk memastikan Malaysia terus selesa sebelum Shafiq Rahim
menamatkan permainan menerusi jaringan penalti pada minit ke-85.
Kemenangan 4-0 itu merupakan
bekalan terbaik untuk bertemu Thailand pada Jumaat ini yang mana skuad
kebangsaan perlu menang untuk layak ke separuh akhir.
Rajagobal yang lega dengan
kemenangan tersebut berkata, kejayaan membenam Kemboja melonjakkan semangat
pemain setelah kalah 1-3 kepada Vietnam, kelmarin.
Kita telah mendapat bekalan
terbaik apabila bertemu Thailand nanti.
Jadi, jika kita mahu ke separuh
akhir, inilah peluangnya dengan mengalahkan Thailand.
Memang kita akui Thailand sebuah
pasukan yang baik, tetapi kemenangan ke atas Kemboja ini membuktikan kita tidak
kurang hebatnya berbanding mereka, katanya.
Perlawanan yang dijangka mudah
semalam, sebaliknya hampir bertukar detik malang apabila Kemboja mempamerkan
permainan bertenaga dan acap kali mencemaskan benteng pertahanan skuad negara
pada babak pertama.
Barisan serangan skuad negara
kurang bermaya akibat ketiadaan Zaquan Adha Abdul Razak yang digantung kerana
menerima kad merah ketika kalah kepada Vietnam.
Gandingan Norshahrul Idlan
Talaha, Abdul Manaf dan S. Kunanlan gagal memberi tekanan serius kepada benteng
pertahanan lawan.
Jaringan Abdul Manaf mencetuskan
sedikit peningkatan mutu permainan apabila dia mudah menewaskan penjaga gol
Kemboja, Samrith Seiha selepas mendapat hantaran jauh dari bahagian pertahanan.
Asakan bertali arus Kemboja
hampir membawa padah kepada skuad kebangsaan apabila dihadiahkan sepakan
penalti pada minit ke-44.
Pemain Kemboja, Kouch Sokumpheak
berjaya meletakkan bola ke gawang hasil penalti yang mengelirukan Mohd.
Sharbinee Allawee.
Namun, pengadil dari Maldives,
Saleem Ali mengarahkan Sokumpheak melakukan sekali lagi sepakan penalti dan
Mohd. Sharbinee tidak melakukan kesilapan apabila tepat mengagak sepakan
penalti kedua.
Mohd. Sharbinee sekali lagi
menyelamatkan gawang daripada dibolosi apabila kemas menepis sepakan bebas
pemain lawan pada minit ke-64. Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YgXRnG2T
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan