Sabtu, 10 September 2016

Safiq sedia sarung semula jersi negara

MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI  |  11 September 2016 12:13 AM
Safiq RAHIM dikejar pemain Terengganu , Joseph Kalang Tie dalam
SAFIQ RAHIM dikejar pemain Terengganu , Joseph Kalang Tie dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru semalam. Safiq menjaringkan satu gol untuk membantu JDT menang 3-0 sekali gus muncul juara musim 2016.
JOHOR BAHRU 10 Sept. - Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
Namun begitu, Safiq memberitahu fokusnya ketika ini adalah membantu Harimau Selatan mengharungi baki kempen pertandingan tempatan musim ini selain peringkat Asia.
Katanya, dia amat terharu dengan permintaan beberapa pihak yang mahukan dia kembali beraksi untuk Harimau Malaysia dan melihatnya sebagai satu penghargaan terhadap dirinya.
“Buat waktu ini saya tidak memikirkan soal pasukan kebangsaan, fokus saya adalah untuk pasukan kelab kerana kami (JDT) masih ada matlamat yang belum dicapai.
“Mungkin selepas itu, kita lihat nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas membantu JDT menumpaskan Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini malam tadi.
JDT menang 3-0 sekali gus muncul juara Liga Super ketika musim ini berbaki dua perlawanan.
Jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini meminta Safiq dan tiga lagi pemain JDT, iaitu Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal untuk kembali me­nyarung jersi kebangsaan selepas Harimau Malaysia tewas 3-0 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Solo baru-baru ini.
Safiq berkata, beliau menasihati rakan-rakannya yang diberi tanggungjawab memakai jersi pasukan kebangsaan untuk sentiasa memberikan persembahan terbaik mereka dalam setiap perlawanan.
“Saya berdoa dan berharap mereka akan dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan khususnya dalam Piala AFF pada tahun ini,” ujarnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-sedia-sarung-semula-jersi-negara-1.381233#sthash.CtqXycLq.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan