Sabtu, 10 September 2016

Safiq fokus Piala AFC sebelum timbang wakili negara

 
SAFIQ (dua dari kanan) enggan ulas isu kembali sarung jersi Harimau Malaysia.
Johor Bahru: Bekas kapten Harimau Malaysia Safiq Rahim mahu menumpukan persiapan untuk menghadapi saingan Piala AFC sebelum memikirkan sama ada ingin kembali menyertai skuad kebangsaan atau kekal dengan keputusan bersara.

Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang mengetuai skuad Harimau Selatan mencipta sejarah merangkul kejuaraan hatrik Liga Super selepas membenam Terengganu 3-0 pada aksi liga kelmarin berkata, tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk berusaha mengekalkan kejuaraan Piala AFC yang dimenangi musim lalu.

Dia yang dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai pada aksi final selepas menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan 1-0 tahun lalu, menyifatkan pertembungan menentang South China AA pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, Selasa ini amat getir dan justeru, dia tidak mahu memikirkan soal lain.

“Ketika ini saya tidak mahu memikirkan soal menyarung jersi skuad negara. Saranan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk saya dan tiga lagi rakan menyertai Harimau Malaysia adalah satu penghargaan.

“Namun biar saya beri sepenuh tumpuan untuk Johor DT kerana kami ada misi penting pada saingan peringkat Asia memandangkan kami sudah melangkah ke suku akhir dan misi utama ialah berusaha sedaya upaya mempertahankan kejuaraan Piala AFC.

“Untuk kembali menyertai skuad negara, mungkin saya fikirkan dulu tetapi seperti yang saya katakan biarlah saya menumpukan kepada saingan Piala AFC dan kemudian barulah kita bercakap mengenainya,” katanya.

Baru-baru ini, Kim Swee mengharapkan Safiq, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal untuk kembali menyertai semula skuad negara selepas berlaku kepincangan dalam skuad itu yang mudah diratah Indonesia 3-0 dalam aksi persahabatan di Solo, Indonesia.

Bagi Safiq, secara peribadi dia percaya barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang diberikan oleh Kim Swee dan berharap setiap pemain memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

“Walaupun tewas anggaplah itu sebagai proses pembelajaran dan perbaiki apa juga kelemahan sebagai persiapan ke Piala AFF tidak lama lagi dan saya harap pemain dipilih oleh jurulatih (Kim Swee) dapat memberikan yang terbaik,” kata Safiq.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:06 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan