Sabtu, 10 September 2016

Chin Aun: Kim Swee perlu fokus skuad sekarang

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
CHIN AUN (duduk empat dari kiri) bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr.Salleh Said Keruak (lima kiri) bergambar kenangan dengan bekas pemain kebangsaan pada majlis pelancaran Dokumentari Harimau Malaya 1980 di pejabat Astro di Bukit Jalil semalam.

BEKAS kapten skuad kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun memberi saranan kepada ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee agar tidak terlalu berharap dengan empat pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk kembali semula menyarung jersi skuad negara di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, kem skuad kebangsaan dihimpit berita kurang menggembirakan pada Julai lepas setelah empat pemain skuad Harimau Selatan, Safiq Rahim, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal membuat keputusan untuk bersara.

Situasi tersebut menyebabkan pengendali berusia 46 tahun itu ‘pening’ untuk mencari pemain baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan empat pemain berkenaan sehingga terpaksa mempertaruhkan pemain yang kurang berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa pada perlawanan persahabatan Kelas A menentang Indonesia baru-baru ini.

Hasil daripada keputusan tersebut, pasukan negara tewas 0-3 kepada Indonesia meskipun skuad Sang Garuda baru sahaja kembali beraksi dalam saingan antarabangsa setelah menjalani penggantungan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak 2014.

“Secara jujur, saya tidak menonton perlawanan itu. Namun, menurut apa yang dijelaskan oleh jurulatih, (Ong Kim Swee), jentera pertahanan yang longgar khususnya pada awal babak perlawanan menjadi punca pasukan negara tewas 0-3.

“Sehubungan itu, apa yang boleh saya sarankan adalah agar Kim Swee memberi lebih tumpuan pada barisan pertahanan. Mereka perlu elakkan bolos terlalu awal kerana ia akan menjejaskan moral pasukan,” kata Chin Aun ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Dokumentari Harimau Malaya 1980 di Kuala Lumpur semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Jr7YCcTL Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan