Sabtu, 10 September 2016

Johor DT, Melaka Utd juara

 
PARA pemain dan pegawai pasukan Johor DT meraikan kejayaan mereka selepas sah bergelar juara Liga Super musim ini.

WALAUPUN masih ada dua lagi perlawanan untuk diharungi, namun pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) sudah mengesahkan status mereka selaku juara Liga Super musim ini.

Ia diperoleh selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Terengganu pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Malam gemilang skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu bermula dengan jaringan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-29 apabila meletakkan pasukannya mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti.

Jaringan tersebut ternyata melonjakkan semangat barisan pemain Johor DT yang terus garang mengasak kubu pasukan lawan, namun penyudah yang lemah menafikan hasrat mereka untuk menambah jaringan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, usaha Terengganu untuk menghalang Johor DT tetap tidak berhasil walaupun memiliki beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan.

Begitupun, tuan rumah lebih bijak menyambar peluang apabila menambah dua lagi gol menerusi kapten, Safiq Rahim pada minit ke-83 sebelum Diaz menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan pada minit ke-85.

Dengan kemenangan tersebut, Johor DT kini mengumpul 52 mata dan tidak mampu lagi dipintas pasukan yang menduduki tangga kedua, Felda United yang sudah mengutip 42 mata.

Ia merupakan kejuaraan hatrik buat Johor DT sejak melakukannya pada tahun 2014 dan 2015.

Bagi saingan Liga Premier pula, Melaka United menepati ramalan menjulang gelaran juara walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim II di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan Melaka United mengumpul 49 mata dan mereka masih ada dua lagi perlawanan untuk diharungi.

Apa pun keputusan yang mereka peroleh selepas ini, ia tidak akan menjejaskan reputasi mereka selaku juara Liga Premier musim ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4JrQnA0Bm Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan