Sabtu, 10 September 2016

Kembalilah demi negara

Kembalilah demi negara
 
AIDIL

AMIRUL

KUNANLAN

SAFIQ
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya harap empat pemain bersara itu memikirkan semula keputusan mereka.” Itu nasihat bekas penyerang Harimau Malaysia era 80-an, Hassan Sani selepas melihat aksi longlai pasukan negara ketika tewas 0-3 di tangan Indonesia, Selasa lalu.

Menurut Hassan, anak didik Datuk Ong Kim Swee itu jelas masih memerlukan khidmat empat tonggak berpengalaman dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu dalam mencorak persembahan pasukan negara.

Sebelum ini, empat pemain Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal mengumumkan persaraan daripada mewakili Malaysia pada Julai lalu.

“Malu perkataan pertama yang boleh saya katakan selepas melihat aksi pemain ketika menentang Indonesia beberapa hari lalu.

“Tidak ada corak dan strategi berkesan dalam persembahan mereka, ia mungkin disebabkan ketiadaan pemain berpengalaman dalam pasukan.

“Saya percaya jika ada Safiq, Aidil dan Kunanlan mungkin keputusan tidak seburuk itu. Mana tahu kita boleh menang atau seri,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Hassan atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Lipas Kudung’, menyeru segala permasalahan peribadi yang membabitkan pemain ataupun pasukan negara dapat diketepikan demi kepentingan dan maruah Malaysia.

“Kalau mereka ada tak puas hati dengan pengurusan pasukan kebangsaan ataupun sesiapa, saya harap ‘buang yang keruh dan ambil yang jernih’.

“Sekarang bukan masa untuk kita melayan kerenah peribadi sebaliknya ini adalah panggilan negara yang amat memerlukan sentuhan mereka dalam memastikan kemenangan dapat dicapai.

“Saya harap mereka akan kembali untuk perlawanan selepas ini dan kemudiannya membantu saingan Piala AFF nanti,” katanya.

Malaysia selepas ini akan menentang Singapura dan Afghanistan pada aksi persahabatan bulan depan sebelum memulakan kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar pada November.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:00 AM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan