Sabtu, 10 September 2016

DT masih ada lagi misi penting

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 SEPTEMBER 2016
 Safiq Rahim
Safiq Rahim Sumber Foto: Facebook Johor Southern Tigers
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) masih mempunyai misi penting yang perlu diberikan tumpuan.

Kapten JDT, Safiq Rahim berkata, buat masa ini, dirinya belum lagi memikirkan mengenai pasukan kebangsaan.

Menurutnya, menjadi satu penghargaan buat dirinya apabila bekas pemain negara mahu khidmatnya bersama tiga tonggak JDT lain, kembali ke bersama skuad Harimau Malaysia.

"Sekarang saya tidak memikirkan lagi tentang pasukan kebangsaan.

"Bagi saya itu satu penghargaan juga bagi diri saya, tapi saya mahu beri tumpuan dahulu untuk pasukan JDT.

"Kita ada lagi misi yang penting untuk JDT iaitu suku akhir Piala AFC. Kita mahu pasukan JDT kekalkan kita punya pencapaian," katanya selepas perlawanan JDT menentang Terengganu di Larkin, malam tadi.

Safiq berkata, hasrat untuk kembali ke pangkuan skuad Kebangsaan mungkin akan difikirkannya selepas selesai misi membantu JDT dalam saingan domestik dan antarabangsa.

"Bagi saya selepas itu mungkin saya akan memikirkan. Tapi sekarang saya perlu memberi tumpuan pada pasukan JDT," katanya.

Diminta nasihat kepada pemain yang dipanggil mewakili skuad Harimau Malaysia, Safiq mahu 'rakan-rakannya' itu memberikan yang terbaik kepada pasukan kebangsaan.

"Saya tidak ada apa-apa nasihat, yang main itu rakan saya. Seangkatan dengan saya juga.

"Tidak kira saya atau mana-mana pemain yang diberi tanggungjawab, harus beri yang terbaik untuk pasukan kebangsaan," katanya.

Beliau turut berharap kekalahan Malaysia kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini, memberi impak positif buat pasukan kebangsaan sebelum mengharungi kejohanan Piala AFF hujung tahun ini.

"Saya harap pemain-pemain yang dipilih jurulatih (Datuk) Ong Kim Swee akan beri yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.

"Dan saya harap mereka dapat mencapai apa sasaran mereka pada tahun ini, insya ALLAH," katanya.

Terdahulu, beberapa bekas pemain negara mahu empat tonggak kelab JDT kembali ke skuad Harimau Malaysia kerana pengalaman luas mereka amat ditagih pasukan itu.

Bekas pemain negara era-1970an dan 1980-an, Khalid Ali menegaskan khidmat Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq, Mohd Amirulhadi Zainal dan S Kunanlan tetap ditagih kerana masih cergas untuk mewakili Harimau Malaysia.

Sementara itu, bekas pemain era 80-an, Mohd Azuan Zain mengakui kehadiran Safiq dan Kunanlan umpamanya, mampu memperkuatkan kembali jentera tengah skuad kebangsaan yang pincang ketika Malaysia tewas 0-3 kepada Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo, Indonesia.

Sebelum ini. empat tonggak kebangsaan itu mengumumkan persaraan daripada mewakili negara, Julai lalu atas alasan mahu memberi peluang kepada pemain muda menyarung jersi kebangsaan.

Kim Swee dilaporkan masih mengharapkan kudrat bekas empat tonggak itu kerana sukar mendapatkan keserasian pemain baharu yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan dalam tempoh yang singkat.

Sumber-sinar harian online 10 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan