MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) digesa
mengambil tindakan ke atas Safiq Rahim susulan mengeluarkan kata-kata kesat
kepada penyokong yang jelas melanggari etika seorang pemain bola sepak
profesional.
Bekas pengurus Selangor, Zakaria
Rahim berkata, perbuatan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencarut di
hadapan pihak media yang kemudiannya menjadi bahan tatapan seluruh peminat
tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan disiplin dengan FAM wajar menghukum
pemain tengah berkenaan.
ZAKARIA RAHIM
Zakaria yang pernah mengendalikan
beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun menegaskan,
setiap bidang kerjaya memiliki etika yang mesti dipatuhi termasuklah pemain
bola sepak yang terikat dengan etika Fairplay atau Respeck.
Katanya, walaupun ketua pasukan
kebangsaan itu mungkin sekadar melepaskan tekanan selepas membantu JDT
menjuarai Piala Malaysia, dia ketika itu masih lagi memakai jersi kelabnya yang
membawa imej Liga Malaysia dan sukan bola sepak secara amnya.
"FAM dan FMLLP tak boleh
berdiam diri. Ini contoh tak baik yang jauh sekali menyimpang dengan etika
Fairplay atau Respeck yang ditekankan FIFA (Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selama ini," katanya
ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, isu berkenaan pernah
berlaku kepada bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney pada 2011 ketika
kelabnya berdepan West Ham United di mana Rooney mengeluarkan kata-kata kesat
kepada penyokong dan pengkritiknya yang sempat dirakam pihak media.
Kelakuan Rooney itu akhirnya
mendapat perhatian serius Persatuan Bola Sepak Englang (FA England) yang
kemudian menggantungnya dua perlawanan kerana didapati bersalah menghina
penyokong.
"Kes Rooney antara contoh
yang harus FAM dan FMLLP ambil kira. Dia yang kini bermain untuk Everton
dihukum dan kemudiannya tampil memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui
dirinya melanggar etika pemain profesional.
"Jadi, takkan badan
pentadbir bola sepak kita nak berdiam diri atau mahu memenangkan Safiq yang terang-terang
dalam rakaman video mencarut dan menghina penyokong. Sebagai pemain
profesional, dia kena terima hakikat bahawa kritikan adalah sebahagian daripada
hidupnya.
"Tetapi dia tidak boleh
bertindak balas kerana dia ada etika selain menjadi ikon kepada masyarakat dan
kanak-kanak. Kalau tak tahan dicemuh, berhenti jadi pemain bola dan pergi jadi
askar, mekanik atau polis," katanya.
Menerusi rakaman video berdurasi
seminit yang viral ketika ini, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada
pengkritik yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan
mengeluarkan kata-kata kesat.
Dalam aksi final Piala Malaysia
di Stadium Shah Alam Sabtu lalu itu, Harimau Selatan berjaya menewaskan Kedah
2-0 menerusi tandukan Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 6 November 2017 @ 7:47 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan