BERNAMA | | 5 Februari 2020
SAFIQ. Foto: Melaka United Soccer
Association - MUSA
PERANCANG tengah Melaka United,
Safiq Rahim optimis skuad Hang Tuah akan menikmati permulaan musim Liga Super
2020 yang positif susulan kejayaan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA)
menyelesaikan masalah kewangan pasukan itu baru-baru ini.
Bekas ketua pasukan skuad Harimau
Malaya itu berkata, perkembangan tersebut ternyata menyuntik semangat serta
memberi motivasi kepada keseluruhan pasukan bagi memperbaiki pencapaian diraih
musim lepas.
“Sebelum bermulanya saingan liga,
kita (pasukan) mahukan elemen positif itu dirasai semua pihak, dari pemain
hingga ke barisan pengurusan. Dengan adanya pengurusan pasukan baharu dan usaha
telah dibuat, kita akan cuba lakukan sesuatu tahun ini dan berikan yang
terbaik.
“Saya harap semua pemain,
pengurusan dan keluarga besar Melaka, dapat bekerjasama menaikkan nama Melaka
musim ini dan seterusnya di masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di
sini hari ini.
Melaka antara tiga pasukan yang
diberi amaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melangsaikan hutang
atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan sebelum Jumaat lepas,
atau dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super.
Bagaimanapun, Melaka terlepas
daripada hukuman itu selepas FAM mengesahkan MUSA telah menyelesaikan tunggakan
tersebut, bersama pihak terlibat.
Dalam pada itu, Safiq berkata,
Melaka United kini berada di landasan yang tepat selepas menjalani sesi latihan
pra musim di Bandung, Indonesia selama lapan hari.
“Ia (pra musim) sedikit sebanyak
memberi kesan yang baik dalam usaha pasukan mencari keserasian antara barisan
pemain, dan kita juga dapat kenal pasti ruang yang boleh diperbaiki,” jelasnya.
Melaka United yang mengalami
prestasi tidak seimbang musim lepas, menamatkan saingan Liga Super di kedudukan
keenam, kandas seawal pusingan kedua di saingan Piala FA, selain mara sehingga
ke pusingan suku akhir Piala Malaysia. – Bernama.[1]
[1] https://www.sinarharian.com.my/article/68887/BERITA/Sukan/Melaka-United-lebih-positif-tanpa-isu-tunggakan-gaji
Tiada ulasan:
Catat Ulasan