BERNAMA | | 6 Februari 2020
Laporan Sinar Harian baru-baru
ini.
BEKAS ketua skuad kebangsaan
Safiq Rahim, mencabar pemain naturalisasi baharu negara Liridon Krasniqi
menjadi ‘taring’ Harimau Malaya bagi membuktikan pemilihannya sebagai pemain
naturalisasi bukan satu kesilapan.
Kebijaksanaan pemain kelahiran
Kosovo berusia 28 tahun itu dalam membaca rentak permainan, disifatkan Safiq
sebagai satu kelebihan kepada pasukan negara, yang kini dalam misi melayakkan
diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Safiq yang kini bersama Melaka
United berkata kelebihan dimiliki tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu,
akan menambah mutu skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, statistik prestasi
Liridon hanya membabitkan saingan domestik dan Safiq menegaskan bekas pemain
Melaka United serta Kedah itu perlu meneruskan rentak cemerlangnya ketika
menyarung jersi negara.
“Beliau (Liridon) seorang pemain
yang baik dan bagi skuad negara adalah satu kelebihan, apabila beliau dapat
dinaturalisasikan. Pasukan negara perlu menggunakan kelebihan yang ada pada
Liridon terutama daya membaca permainan, kerana impaknya sangat besar dalam
setiap perlawanan.
“Liridon perlu tunjukkan
kemampuan sebenar dan bagi 100 peratus ketika bermain untuk pasukan negara,
kerana tiada yang lagi besar daripada negara. Kita mahu melihat beliau beraksi
di tahap lebih tinggi, kerana setakat ini beliau hanya beraksi dalam saingan
domestik,” katanya di Cyberjaya.
Safiq
Safiq
Liridon memperkenalkan dirinya
kepada peminat bola sepak tanah air dengan bergaya, apabila membantu Kedah
menjuarai saingan Liga Premier, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA
sepanjang empat musim bersama skuad Lang Merah bermula 2015.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) pada Isnin lepas mengesahkan Liridon secara rasmi menjadi warganegara
Malaysia, selepas menerima kad pengenalan (MyKad) dan menjadi pemain
naturalisasi kedua negara selepas pemain sayap Pahang Mohamadou Sumareh.
Malaysia akan meneruskan misi ke
Piala Asia 2023, dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26
Mac dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (31 Mac), dalam melengkapkan
baki saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia
2023.
Pada masa sama, Safiq menegaskan
pemain tempatan perlu menerima perkembangan Liridon ini, sebagai satu motivasi
untuk meningkatkan lagi tahap kualiti permainan.
“Kita perlu ambil ini dari sudut
positif, dan sebagai pemain tempatan kita kena ada jiwa yang besar kerana ia
merupakan salah satu karakter seorang pemain bola sepak. Jangan cepat berpuas
hati...kena sentiasa bersaing dan berusaha berikan yang terbaik,” jelas Safiq. –
Bernama.[i]
[i] https://www.sinarharian.com.my/article/69011/BERITA/Sukan/Safiq-cabar-Liridon-jadi-taring-Harimau-Malaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan