Isnin, 21 Januari 2019

Safiq tolak tawaran Indonesia


ARKIB : 01/01/2011
SHAH ALAM - Ketua pasukan bola sepak negara, Safiq Rahim mendedahkan dia menolak tawaran untuk beraksi dengan sebuah kelab di Indonesia, kerana mahu meneruskan aksi dalam saingan liga tempatan.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, tawaran tersebut disuarakan seorang ejen pada perlawanan akhir menentang pasukan negara itu pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF di Jakarta.

Bagaimanapun dia mengakui memikirkan dan mengutamakan pasukan negara sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jika saya mahu mengembangkan bakat di luar negara pada usia muda, inilah masanya.

"Namun, tawaran ejen tersebut tidak saya beri sebarang maklum balas kerana saya telah mengikat kontrak dengan pasukan Selangor dan sayangkan pasukan negara.

"Saya juga mengutamakan negara berbanding yang lain, kerana rasa puas dapat membantu menaikkan nama negara dan membawa kemenangan negara seperti kelmarin melebihi segala-galanya buat saya," kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Turut menemani beliau ialah bapanya, Rahim Mohd. Yatim, 51, ibunya, Aida Majid, 42, adik bongsu Safiqa Rahim, 21, dan keluarga bapa saudaranya.

Menceritakan tentang perlawanan Piala Suzuki AFF, Safiq berkata, selepas mengetahui akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir, dia gementar tetapi cuba mengawal diri kerana merupakan ketua pasukan.

Ini kerana, semasa perlawanan pertama, pasukan negara kalah 5-1 kepada Indonesia dan beliau sendiri pernah merasakan dirinya seperti tidak bertuah sebagai kapten.

"Ketika ini jurulatih, K. Rajagobal membantu membakar semangat kami agar tidak hilang arah dan saya sendiri rasa lebih bertanggungjawab untuk membawa pasukan ke arah kemenangan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dFa07nBt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan