Rabu, 23 Januari 2019

Pemain skuad Harimau Malaya janji kekal konsisten


ARKIB : 13/01/2011
PUTRAJAYA - Bersemangat dan mahu terus kekal konsisten, itulah janji yang mahu dikotakan pemain skuad kebangsaan sebaik sahaja mereka menerima ganjaran bernilai RM65,000 termasuk saham amanah dan wang tunai oleh kerajaan.

Menurut ketua pasukan, Safiq Rahim, dia amat terharu dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam ketika meraikan skuad Harimau Malaya itu di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

"Saya amat berpuas hati dengan pemberian ganjaran ini, ia membakar semangat pemain untuk beraksi lebih bersemangat bersama pasukan kebangsaan mahupun bersama negeri atau kelab di Liga Malaysia," katanya ketika ditemui media semalam.

Jelasnya, pemberian unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 juga adalah untuk kegunaan pemain pada masa akan datang sekiranya mereka sudah menamatkan karier sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

"Apa pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan, dengan ganjaran ini kami begitu bersemangat untuk mencipta kejayaan di peringkat Asia pula," kata Safiq mengetuai pasukan muncul juara Piala Suzuki AFF menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir.

Selain saham amanah 25 individu termasuk pemain dan jurulatih juga mendapat imbuhan RM10,000 daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menganggap apa yang diberikan oleh kerajaan adalah sebagai rezeki dan ia langsung tidak akan membuatkan dia lupa diri tetapi bersemangat untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Saya akan lebih bekerja keras lagi, menerima ganjaran yang lumayan ini tidak akan membuatkan saya dibuai mimpi. Apa pun tumpuan saya sekarang ini terarah kepada pasukan Kelantan terutama sekali menjelang Piala Sumbangsih menentang Selangor 29 Januari ini.

"Saya harap pemain pertahanan Kelantan mampu untuk menyekat kemaraan Safee Sali, ini kerana dia berada pada puncak prestasi tetapi saya yakin kami mampu memenangi perlawanan tersebut," katanya.

Bagi Norshahrul Idlan Talaha, ganjaran tersebut adalah sebagai menghargai pengorbanan pemain dan berharap rakan-rakannya dapat mengekalkan aksi konsisten terutama sekali di peringkat yang lebih tinggi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, saya rasa pemain lain juga teruja dengan apa yang telah diperolehi ini," kata penyerang Kelantan itu yang turut berkeinginan beraksi di Liga Thailand dan Vietnam tetapi masih mempunyai kontrak dengan juara Piala Malaysia musim lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5dQtgENOE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan