Rabu, 11 Oktober 2017

[VIDEO] Malang buat Safiq, peluang Harimau Malaya kian sukar



 LAYANGAN kad merah yang diterima ketua pasukan, Safiq Rahim menyukarkan
LAYANGAN kad merah yang diterima ketua pasukan, Safiq Rahim menyukarkan keadaan Malaysia ketika tumpas 2-0 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, malam ini. - REUTERS

10 Oktober 2017 9:57 PM

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Malang terus menimpa Malaysia dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2019 apabila layangan kad merah terhadap ketua pasukan, Safiq Rahim pada babak pertama menyebabkan skuad Harimau Malaya hilang hala tuju sebelum akhirnya tewas 2-0 di Stadium Hong Kong, sebentar tadi.

Kekalahan kedua itu sekali gus menyukarkan peluang untuk Malaysia mencari tiket ke pusingan akhir Piala Asia yang akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 Januari hingga 1 Februari, 2019.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-166 dunia bermula baik sebelum perancang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq dilayangkan kad merah gara-gara terpijak pertahanan Hong Kong, Dani Cancela pada minit ke-39.

Dari saat itu, Harimau Malaya yang mulai tempang dikejutkan dengan jaringan skuad Dragons hasil tandukan penyerang Jordi Tarres Paramo, seminit sebelum wisel rehat babak pertama dibunyikan.

Tuan rumah yang menduduki tangga ke-147 dunia memanfaatkan sepenuhnya kekurangan Malaysia apabila menambah gol kedua hanya empat minit selepas babak kedua bersambung menerusi jaringan penyerang, Jaimes McKee pada minit ke-49.

Layangan kad merah kepada Safiq hari ini mengulangi detik hitam Harimau Malaya ketika berdepan Hong Kong dalam perlawanan pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September lalu apabila dua tonggaknya ketika itu, Mohd. Aidil Zafuan Abd Razak dan Rizal Ghazali dibuang padang. Perlawanan itu bekesudahan seri 1-1.

Kekalahan terbaharu ini menyaksikan skuad bimbingan Nelo Vingada menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan hanya mengutip satu mata. Malaysia sebelum ini turut tewas 1-2 kepada Lebanon di Larkin pada 13 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/video-malang-buat-safiq-peluang-harimau-malaya-kian-sukar-1.536317#ixzz4vBmxP133
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan