Rabu, 11 Oktober 2017

Safiq mahu berdiam



Devinder Singh
devinder@nst.com.my
 
SAFIQ Rahim mengelak daripada ditemuramah kumpulan wartawan sebaik pasukan kebangsaan yang tewas 2-0 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia semalam, tiba di ibu negara hari ini.

Tindakan itu menyebabkan ketua jurulatih Nelo Vingada terpaksa memohon maaf bagi pihak kapten pasukan negara yang dilayangkan kad merah pada minit ke-40 permainan sebelum Hong Kong meledak dua gol. Ini adalah kali ketiga dalam 76 penampilannya bersama Harimau Malaya, Safiq dibuang padang dan dengan ketiadaan penyerang sepanjang babak pertama dalam saingan Kumpulan B itu, ketiadaan pemain tengah itu menambah derita anak buah Vingada.

Vingada berkata, Safiq memohon maaf sejurus selepas dia dibuang padang kerana memijak pertahanan Hong Kong Daniel Cancela Rodriguez.

“Ini kali pertama perkara sebegini berlaku di bawah kendalian saya,” kata Vingada merujuk kepada kad merah Safiq.

“Saya cukup mengenalinya, kapten yang amat bagus, semangat juang yang tinggi. Dia sedar itu adalah satu kesilapan.”

“Sekarang tidak ada sesiapa boleh katakan jika dia masih ada kita mungkin tidak akan tewas, tetapi siapa tahu. Sudah tentu apabila kita kehilangan Safiq, kita hilang keupayaan untuk menguasai bola dan rentak permainan juga terganggu.”

“Saya tidak kecewa disebabkan dia kerana ia tidak disengajakan. Saya tidak lihat ia seperti disengajakan. Ia adalah satu kesilapan. Pada waktu rehat dia meminta maaf kepada pasukan dan mengakui ia adalah satu kesilapan dan tidak akan berlaku lagi.”

“Saya harap Safiq sedar perkara sebegini tidak boleh berlaku di peringkat ini. Pengadil membuat keputusan yang tepat.”


VINGADA ketika ditemuramah wartawan.

Pemain tengah Johor DT (Johor Darul Ta’zim) itu sebelum ini dibuang padang ketika kekalahan 5-3 di tangan Singapura dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2011 dan sekali lagi dalam perlawanan persahabatan menentang Oman dua tahun lalu di mana Malaysia tewas 6-0.

Percubaan untuk mendapatkan Safiq di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekadar dibalas dengan lambaian oleh pemain itu sambil memohon maaf dan dia terus meninggalkan dewan ketibaan.

Selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, empat daripadanya tewas, Vingada menerima kritikan ke atasnya sebagai jurulatih.

“Saya tidak akan berputus asa. Saya sangat optimistik dan juga realistik. Ketika mengendali Arab Saudi dan Portugal, saya berada di tahap berbeza. Di sini saya tahu di peringkat mana saya berada, sudah pasti kehadiran saya untuk membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi.”

“Saya di sini kerana saya suka berada di sini dan menghormati semua orang. Saya percaya kepada pemain dan pegawai saya dan mereka tahu siapa saya. Saya boleh pergi bila-bila masa dan masih mampu berbangga kerana saya sudah memberikan yang terbaik,” kata pengendali dari Portugal itu.

Vingada bakal kehilangan Safiq dan pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak (digantung empat perlawanan), juga dari Johor DT, untuk perlawanan seterusnya menentang Korea Utara pada 14 November.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:52 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan