Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia bangkit - Skuad negara hidupkan peluang benam Laos 4-0


 

ARKIB : 04/12/2007
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
MOHD. Khyril Muhymeen (tengah) diasak oleh dua pemain Laos dalam saingan bola sepak Sukan SEA di Korat, semalam. Malaysia menang 3-0.

KORAT – Malaysia menghidupkan semula peluang ke separuh akhir bola sepak lelaki dengan membenam Laos 4-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surapala Keetha Sathan Universiti Teknologi Suranaree, semalam.

Kemenangan menerusi dua jaringan Safee Sali pada minit ke-75 dan 90, Amirulhadi Zainal (67) dan Safiq Rahim (83) ini turut memulihkan semangat skuad bawah 23 tahun negara selepas tewas 1-3 kepada Vietnam, Sabtu lalu.

Anak buah B. Sathianathan dikekang tanpa jaringan oleh Laos sehingga 45 minit pertama yang cuba memburu kesudahan serupa seperti ketika mengikat Singapura, Sabtu lalu biarpun beroleh tidak kurang empat percubaan yang berpotensi jaringan pada minit ke-25 hingga 27 dan 34.

Kerap kali Malaysia yang membuat sedikit rombakan dengan mula menurunkan Chun Keng Hong dan ketua pasukan, Azi Shahril Azmi untuk menggantikan Syamsol Sabtu dan Khyril Muhymeen Zambri, dihampakan oleh kecekapan penjaga gol Laos, Toulakham Sitthidaphong.

Tandukan Zaquan Adha Radzak dan rembatan kaki kiri diselamatkannya, begitu juga dengan percubaan Amirulhadi Zainal hasil umpanan Safee sehinggalah kemasukan Khyril pada babak kedua untuk menggantikan Keng Hong, mengubah corak serangan Malaysia.

Satu hantaran lambung Khyril yang tepat dari sebelah kanan membolehkan Amirulhadi menanduk masuk untuk membawa Malaysia memecahkan kebuntuan kedudukan dan kekebalan Toulakham pada minit ke-67.

Minit ke-75 menyaksikan gawang Laos bocor lagi, kali ini menerusi tandukan Safee, penyerang yang dikatakan mirip gaya Mokhtar Dahari yang menyudahkan umpanan lintang gandingan serangannya, Zaquan.

Gol ketiga Malaysia tiba pada minit ke-83 hasil kerjasama serampang tiga mata dengan dimulakan umpanan leret Zaquan kepada Safee yang kemudiannya menolak untuk rembatan kaki kiri Safiq Rahim.

Safee membuktikan sentuhan penyudahnya yang cukup berbisa terhadap Laos setelah melakukan pusingan badan mengelirukan benteng Laos sebelum melepaskan rembatan deras mengatasi Toulakham lagi pada minit terakhir permainan.

Malaysia bagaimanapun mesti menewaskan Singapura dalam perlawanan terakhirnya, Sabtu ini untuk menjamin tempat ke separuh akhir selepas republik jiran itu mengejutkan pemenang perak temasya Filipina 2005, Vietnam 3-1, semalam.

Kata Sathianathan: ‘‘Kami agak sukar menembusi Laos pada mulanya tetapi hanya setelah gol pertama diperoleh, barulah semuanya berjalan lancar dan kami mampu meraih tiga mata. Kami hanya mahu menang ke atas Singapura selepas ini.

“Saya kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan tetapi kami ada rehat lima hari untuk memulihkan diri. Saya juga perlu menyemak siapa yang sudah menerima dua kad kuning dan bakal terlepas perlawanan terakhir.”

Skuad negara bakal kehilangan Zaquan apabila menentang Singapura kerana beroleh dua kad kuning dengan Vietnam dan Laos tetapi akan memiliki semula khidmat abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak yang selesai menjalani penggantungan dua perlawanan ekoran Kelayakan Piala Dunia, Oktober lalu.

MALAYSIA

Syed Adney Syed Hussein, Azi Shahril Azmi (Norshahrul Idlan Talaha), S. Subramaniam, Bunyamin Umar, Chun Keng Hong (Khyril Muhymeen Zambri), Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal (Samransak Kram), Safiq Rahim, Daudsu Jamaludin, Safee Sali, Sumardi Hajalan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vu8eQgUo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan