Rabu, 11 Oktober 2017

Malaysia pilih jalan sukar

 JORGE TARRES menanduk masuk jaringan pertama Hong Kong ketika
Kad merah Safiq Rahim antara faktor Malaysia tewas
JORGE TARRES menanduk masuk jaringan pertama Hong Kong ketika menentang Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, semalam. REUTERS

Sufian Hadi Sojak

11 Oktober 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Ketiadaan kapten Safiq Rahim yang dibuang padang pada babak pertama nyata memberi kesan mendalam terhadap barisan Harimau Malaya, menyaksikan mereka tumpas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, hari ini.

Keputusan itu menipiskan peluang Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 Januari hingga 1 Februari.

Terdahulu, skuad kebangsaan yang menghuni tangga ke-166 dunia beraksi dengan baik, sebelum bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilayangkan kad merah gara-gara dilihat pengadil memijak pertahanan Hong Kong, Dani Cancela pada minit ke-39.

Dari saat itu, Harimau Malaya yang mulai tempang dikejutkan jaringan penyerang skuad Dragons, Jorge Tarres menerusi tandukan seminit sebelum wisel waktu rehat dibunyikan.

Tuan rumah yang menduduki tangga ke-147 dunia melebarkan jurang gol menerusi penyerang Jaimes McKee pada minit ke-49, untuk melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas Malaysia.

Malaysia mengutip kad merah ketiga dalam tempoh 35 hari setelah dua tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Radzak dan Rizal Ghazali dibuang padang ketika berdepan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Me­laka yang berkesudahan 1-1 pada 5 September lalu.

Malaysia kempunan mencatat kemenangan pada dalam Kumpulan B termasuk tewas kepada Lebanon di Larkin, 13 Jun lalu.

Malaysia masih mengekalkan statusnya sebagai pasukan tercorot dalam kumpulan itu apabila sekadar mengumpul satu mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-pilih-jalan-sukar-1.536352#ixzz4vC1RDd3h
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan