Rabu, 25 Mei 2016

Tak pasti beraksi

Rizar Mohd Noor -rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Belum ada kepastian sama ada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) akan mempertaruhkan kelibat Safiq Rahim (gambar) apabila menentang Kaya FC pada aksi 16 pasukan terbaik saingan Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Selatan Mario Gomez menegaskan kecederaan dialami kapten Johor DT itu masih belum pulih sepenuhnya namun pemain tengah berkenaan sudah mula menjalani latihan ringan.

Katanya, jika Safiq tidak dapat diturunkan kemungkinan tempatnya diambil alih Amirulhadi Zainal yang bakal bergandingan dengan Hariss Harun.

“Kedudukan Safiq mungkin 50-50 atau 60-40 dan saya hanya boleh putuskan menjelang perlawanan malam esok (malam ini). Kemungkinan juga dia berada di bangku simpanan dan semuanya bergantung kepada tahap kecergasannya.

“Aksi menentang Kaya hanya satu perlawanan dan ia juga kalah mati. Jadi kami tidak boleh lepaskan peluang terbaik beraksi di laman sendiri untuk melangkah ke suku akhir.

“Kemenangan besar 6-0 menewaskan Pahang pada saingan Liga Super, baru-baru ini juga melonjakkan moral pemain.

“Saya juga percaya mereka mahu meneruskan momentum kemenangan itu dengan persembahan terbaik,” katanya.

Apapun, Gomez tetap menghormati kelab Filipina yang pertama kali beraksi di pentas Piala AFC dan keupayaan layak ke pusingan kalah mati itu membuktikan skuad kendalian Joel Villarino dibarisi pemain terbaik.

Justeru beliau tidak mahu kesebelasan Johor DT memandang rendah pasukan lawan, sebaliknya sentiasa memberi sepenuh perhatian dan fokus terhadap perlawanan itu.

“Pasukan lawan turut dibarisi pemain muda yang sering beraksi dengan corak permainan pantas.

“Malah saya anggap kapten Alexander Borromeo, Kenshiro Daniels dan pemain import dari Ghana, Robert Lopez Mendy boleh memberi ancaman,” katanya.
 
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 9:08 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan