Sabtu, 14 Mei 2016

Piala AFC: JDT kekal rekod cemerlang

MOHAMAD FAIZAL HASHIM  |  12 Mei 2016 12:36 AM
Safiq Rahim (kanan) meraikan jaringannya dalam perlawanan Piala
Safiq Rahim (kanan) meraikan jaringannya dalam perlawanan Piala AFC menentang Bengaluru di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. utusan/MOHD. HAZROL ZAINAL
JOHOR BAHRU 11 Mei – Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat suntikan semangat menjelang perlawanan akhir Piala FA apabila mengekalkan rekod bersih mereka dalam kejohanan Piala AFC setelah menumbangkan Bengaluru FC 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan JDT menamatkan persaingan peringkat kumpulan H dengan mata maksimum dan akan menghadapi PKNS FC dalam final Piala FA Sabtu ini di Shah Alam dengan keyakinan tinggi.
Harimau Selatan mengumpul 18 mata daripada enam perlawanan untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC sebagai juara kumpulan manakala kelab dari India itu turut layak sebagai naib juara.
Pemain tengah Safiq Rahim sekali lagi menjadi pemusnah pasukan lawan apabila menjaringkan satu gol dan merancang gol kedua yang disempurnakan oleh Safee Sali.
Turun tanpa kelibat beberapa pemain utama, pasukan tuan rumah tampak kurang menyengat pada babak pertama dan tidak memberi tekanan kepada kubu pasukan dari India itu.
Percubaan tepat ke arah gol bagi pasukan JDT hadir pada minit ke-17 menerusi Amri Yahyah yang mudah melepasi kawalan pemain pertahanan namun gagal menewaskan penjaga gol lawan.
Harimau Selatan kemudiannya mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan gol pembukaan namun percubaan yang dilakukan Amri dan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi gagal menerjah jaring pelawat.
Percaturan ketua jurulatih Mario Gomez yang membawa masuk Safiq dan S. Chanturu pada babak kedua berjaya mengubah rentak permainan dan tidak lama kemudian tuan rumah merobek benteng kebal pasukan Bengaluru.
Safiq menghadiahkan gol pembukaan Harimau Selatan pada minit ke-69 apabila rembatannya dari luar kawasan gol terkena pertahanan lawan, John Johnson menyebabkan penjaga gol Bengaluru tersalah langkah.
Pada minit ke-77, JDT menggandakan jaringan apabila Safee meledak gol kedua pasukan setelah menerima lorongan cantik yang dilakukan Safiq.
Ketika permainan hampir tamat, Harimau Selatan memperoleh gol sagu hati menerusi sepakan penalti Mohd. Shakir Shaari setelah Chanturu dikasari pemain pertahanan lawan.
JDT akan bertemu dengan naib juara kumpulan F, Kaya FC dari Filipina dalam pusingan kedua pada 25 Mei ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan