Khamis, 26 Mei 2016

Pesan kapten buat rakan-rakan sepasukan


KAPTEN skuad kebangsaan, Safiq Rahim hanya mampu berharap kecederaan yang dialaminya akan pulih sepenuhnya, sekali gus dapat bersama skuad Harimau Malaysia memenangi saingan playoff kela­yakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun depan.

Menurut Safiq yang juga pemain Johor Darul Takzim (Johor DT), kecederaan yang dialami selepas membantu pasukannya menjulang trofi Superbest Power Piala FA 14 Mei lepas masih belum pulih, sekali gus terpaksa melupakan hajat untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Yangon esok.

“Meskipun saya tidak dapat mengikuti skuad kebangsaan ke Myanmar, saya harap rakan-rakan sepasukan tetap memberikan aksi terbaik kerana ia adalah aksi pemanas badan sebelum perlawanan menentang Timor Leste minggu depan.

“Kini, saya harap dapat cepat pulih ke­rana dalam pemikiran saya hanya mahu cepat bermain dan membantu semula pasukan kerana ia adalah misi hidup mati skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Mengulas mengenai pemain yang bakal mengisi kekosongannya nanti, Safiq percaya setiap pemain memiliki kelebihan serta keupayaan masing-masing selain menyeru mereka untuk bersatu hati dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemain kebangsaan.

“Secara peribadi, ia terletak di tangan jurulatih mengenai taktikal pasukan. Namun, saya berpendapat sesiapa sahaja yang diturunkan pasti mempersembahkan yang terbaik ketika menyarung jersi kebangsaan. Apa yang penting, mereka dapat memainkan peranan sebaik mungkin dan membantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Safiq mengakui walaupun lebih dua minggu tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif, ia tidak menjejaskan prestasinya kerana pegawai perubatan termasuk fisio­terapi akan menyediakan beberapa program untuk mengembalikan momentum dan staminanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz49nnEsXiQ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan