Isnin, 16 Mei 2016

Johor DT tidak cakap kosong

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
BARISAN pemain dan pegawai Johor DT meraikan kejayaan mereka selepas muncul juara Superbest Power Piala FA 2016 hasil kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada final di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

SKUAD Johor Darul Takzim (Johor DT) membuktikan bahawa mereka serius untuk memburu lebih banyak kejayaan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bermula dengan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih awal musim ini, skuad yang ter­kenal dengan jolokan Harimau Selatan itu terus berada di puncak selepas bergelar juara Superbest Power Piala FA ekoran kemenangan 2-1 ke atas PKNS pada final di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Walaupun perjalanan Liga M musim ini masih panjang, dua piala sudah bertapak di bumi Johor dan dua lagi iaitu Piala Malaysia dan Liga Super masih dalam pemburuan.

Jika rentak cemerlang yang mereka pamerkan musim ini te­rus dipertahankan, tidak mustahil keempat-empat piala pada kempen Liga M musim ini akan berada dalam genggaman mereka.

Impian tersebut memang menjadi cita-cita Johor DT, lebih-lebih lagi selepas kejayaan mereka bergelar juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim lalu.

Pemain paling berbangga de­ngan kejayaan tersebut sudah pastinya kapten Johor DT, Safiq Rahim yang merupakan satu-satunya pemain sudah memiliki koleksi kejayaan yang serba lengkap sejak menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu.

Safiq menjelaskan, dia tidak mahu memandang ke belakang lagi dan akan terus melakukan apa sahaja dalam misi membawa lebih banyak kejayaan buat Johor DT.

Menurutnya, sasaran selepas ini sudah pastinya mahu membawa Johor DT layak beraksi pada kempen Liga Juara-Juara Asia.

Tanpa berselindung, pemain berusia 29 tahun tersebut juga optimis bahawa impian itu bukanlah satu perkara mustahil jika semua barisan pemain Johor DT meneruskan komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.

“Kami tidak boleh menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus mengorak langkah bagi memastikan skuad Johor DT terus berada di puncak kejayaan. Setiap perlawanan adalah penting, oleh itu kami harus sentiasa fokus sehingga ke penghujung musim,” jelas Safiq.

Menurutnya lagi, semangat berpasukan harus dipertahankan kerana ia merupakan kunci kejayaan buat skuad Johor DT setakat ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz48pi3hXCH Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan