Rabu, 15 Januari 2020

Piala AFC: JDT tunjuk belang benam East Bengal 4-1


Sukan
Selasa, 24 Februari 2015 | 10:53pm
Piala AFC: JDT tunjuk belang benam East Bengal 4-1
 
Pemain JDT, Safee Sali (depan) meraikan jaringannya pada perlawanan Piala AFC 2015 menentang East Bengal di Stadium Larkin, Johor Bahru sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen Piala AFC dengan nota ceria selepas membelasah East Bengal 4-1 dari India dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, malam ini.

Dua gol pada setiap babak permainan memberi anak didik Bojan Hodak satu permulaan positif dalam kejohanan peringkat benua dengan mengutip tiga mata pertama dalam saingan yang jelas menjadi dominasi skuad Harimau Selatan.

Ketiadaan dua penyerang import, Jorge Pereira Diaz dan Luciano Figueroa tidak begitu terasa ketika pemain JDT masih mampu menampilkan corak permainan kemas untuk melakar kemenangan besar di laman sendiri.

Tuan rumah bermula agresif dan berjaya mendahului seawal minit ke-9 apabila Nazrin menjaringkan gol cantik hasil sepakan percuma.

Namun, pelawat kembali dalam saingan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi Soleye Ranti Martins juga daripada usaha sama.

Tersentak, JDT bangkit mengemaskan permainan dan berjaya mendahului 2-1 pada minit ke-39 selepas dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Thailand, Sivakorn Pu-Udom selepas bola terkena tangan pertahanan East Bengal, Milan Susak.

Safiq Rahim yang diberikan tugasan mengambil sepakan itu menyempurnakan dengan baik menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Mondal Abhijit.

Selepas rehat, JDT hanya menunggu dua minit untuk melebarkan penguasaan dengan gol ketiga yang memerangkap benteng East Bengal selepas S Chanturu menjaringkan gol dengan tolakan kemas hasil umpanan baik daripada Mohamad Fadhli Shas.

Safee Sali mengukuhkan kedudukan tuan rumah dengan jaringan keempat pada minit ke-54 hasil satu sepakan gunting yang cantik di sebelah kanan pintu gol lawan.

Perlawanan berikut Harimau Selatan adalah menentang Belestier Khalsa dari Singapura pada 10 Mac dan kelab Hong Kong, Kitchee pada 18 Mac ini.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/node/36729

Tiada ulasan:

Catat Ulasan