Selasa, 21 Januari 2020

Pamer belang tanpa Safiq


MyMetroNode
 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee tetap yakin anak buahnya mampu memberikan aksi terbaik meskipun kemungkinan terpaksa melupakan khidmat kapten Safiq Rahim yang masih bergelut dengan kecederaan bagi aksi getir play-off kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Larkin pada 2 dan 6 Jun depan.

Safiq tidak bersama pasukan ke Yangon hari ini bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Myanmar esok dan Kim Swee masih menaruh harapan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu sempat pulih sekurang-kurangnya bagi perlawanan kedua bertemu Timor Leste.

“Selepas diteliti pihak perubatan, kita dapati Safiq perlukan masa agak lama, sekurang-kurangnya 10 hari untuk pulih sepenuhnya, jadi saya buat keputusan untuk tinggalkan Safiq di sini bagi menjalani perubatan tapi dia akan bersama kami apabila balik dari Myanmar. Di situ kami akan menilai sama ada dia boleh beraksi atau sebaliknya.

“Safiq bukan saja memainkan peranan dalam padang malah di luar, tapi malangnya dia cedera. Saya percaya dengan barisan pemain tengah yang ada ketika ini mereka mampu mengambil tempat Safiq,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan semalam.

Kesemua 11 pemain Johor DT melaporkan diri hari ini untuk menyertai 13 pemain lain yang sudah memulakan latihan pusat sejak Isnin lalu.

Susulan ketiadaan Safiq, Kim Swee mempunyai beberapa calon pengganti, antaranya Baddrol Bakhtiar, Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Abdul Latif Suhaimi manakala tugas selaku kapten akan diserahkan kepada tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak.

Buat masa ini, Kim Swee tidak bercadang menggunakan khidmat pemain lain bagi menggantikan Safiq dalam senarai 25 pemain namun beliau membuat keputusan memanggil pasangan kembar Aidil iaitu Zaquan Adha bagi R Gopinathan yang digugurkan sebelum ini akibat kecederaan.

Pengendali berkenaan memuji komitmen pemain Johor DT II itu yang sanggup membatalkan percutian di luar negara bagi menyertai pasukan sebaik dihubungi semalam.

“Zaquan sanggup membatalkan percutiannya untuk bersama pasukan, jadi ini contoh yang baik. Dia bermain agak baik dalam Liga Perdana, saya percaya Zaquan masih boleh menjadi penyerang atau pemain sayap yang kita perlukan,” jelas Kim Swee.

Namun beliau mengesahkan pemain kacukan Inggeris Darren Lok tidak akan menyertai pasukan bagi aksi persahabatan dan play-off itu kerana masih belum mendapat pasport dan kemungkinan bakal dipanggil bagi siri Jelajah Oceania pada pertengahan Jun bulan depan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 8:41 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan