Selasa, 10 Disember 2019

Tetap waspada


MyMetroNode
 
Oleh S Anand Kumar
Johor Bahru: Pendahulu Kumpulan F Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak ambil mudah melayan kunjungan Balestier Khalsa FC pada saingan Piala AFC, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Malah kapten Safiq Rahim terus mengajak rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya berdepan kelab dari Singapura itu.

Menurut Safiq, rentak kemenangan ke atas FELDA United pada aksi Liga Super dan juga East Bengal FC pada saingan AFC sebelum ini harus diteruskan.

“Kami tidak terbabit dengan saingan Piala FA, maka jadual perlawanan tidak padat dan memberikan ruang terbaik untuk fokus dalam latihan serta membuat persiapan Piala AFC,” katanya.

Safiq berkata, pasukan juga selesa dengan bimbingan ketua jurulatih baru, Mario Gomez yang sentiasa berkomunikasi dengan pemain.

“Setiap jurulatih mempunyai perancangan masing-masing dan Gomez juga mempunyai strategi tersendiri.

“Beliau seorang yang berpengamalan luas serta mahu menjadikan Johor DT sebagai pasukan mantap,” katanya.

Sementara itu, Gomez berkata, Johor DT dibarisi pemain berpotensi dan selaku ketua jurulatih dia sudah mengenal pasti pemain yang akan diturunkan berdepan Balestier.

Katanya, beliau mahukan kemenangan walaupun pasukan sudah layak ke pusingan kedua Piala AFC.

“Saya rasa tiada masalah buat pemain memberikan komitmen terbaik mereka, malah kita juga sudah membuat persiapan sepenuhnya,” kata Gomez.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Balestier, Marko Kraljevic berkata, walaupun pasukannya gagal layak ke pusingan kedua, beliau berjanji akan memberi saingan hebat kepada JDT, malam ini.

“Kami datang ke Stadium Larkin bukan untuk bercuti, sebaliknya berdepan Johor DT, iaitu antara pasukan terbaik Asia Tenggara. Perlawanan ini penting dan menghidangkan pengalaman terbaik kepada pemain saya,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 9:09 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan