MyMetroNode
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Belum ada kepastian
sama ada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) akan mempertaruhkan kelibat Safiq Rahim
(gambar) apabila menentang Kaya FC pada aksi 16 pasukan terbaik saingan Piala
AFC di Stadium Larkin, malam ini.
Ketua jurulatih skuad Harimau
Selatan Mario Gomez menegaskan kecederaan dialami kapten Johor DT itu masih
belum pulih sepenuhnya namun pemain tengah berkenaan sudah mula menjalani
latihan ringan.
Katanya, jika Safiq tidak dapat
diturunkan kemungkinan tempatnya diambil alih Amirulhadi Zainal yang bakal
bergandingan dengan Hariss Harun.
“Kedudukan Safiq mungkin 50-50
atau 60-40 dan saya hanya boleh putuskan menjelang perlawanan malam esok (malam
ini). Kemungkinan juga dia berada di bangku simpanan dan semuanya bergantung
kepada tahap kecergasannya.
“Aksi menentang Kaya hanya satu
perlawanan dan ia juga kalah mati. Jadi kami tidak boleh lepaskan peluang
terbaik beraksi di laman sendiri untuk melangkah ke suku akhir.
“Kemenangan besar 6-0 menewaskan
Pahang pada saingan Liga Super, baru-baru ini juga melonjakkan moral pemain.
“Saya juga percaya mereka mahu
meneruskan momentum kemenangan itu dengan persembahan terbaik,” katanya.
Apapun, Gomez tetap menghormati
kelab Filipina yang pertama kali beraksi di pentas Piala AFC dan keupayaan
layak ke pusingan kalah mati itu membuktikan skuad kendalian Joel Villarino
dibarisi pemain terbaik.
Justeru beliau tidak mahu
kesebelasan Johor DT memandang rendah pasukan lawan, sebaliknya sentiasa
memberi sepenuh perhatian dan fokus terhadap perlawanan itu.
“Pasukan lawan turut dibarisi
pemain muda yang sering beraksi dengan corak permainan pantas.
“Malah saya anggap kapten
Alexander Borromeo, Kenshiro Daniels dan pemain import dari Ghana, Robert Lopez
Mendy boleh memberi ancaman,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 25 Mei 2016 @ 9:08 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan