BERNAMA | | 22 November 2019
Gambar yang dikongsikan di laman
Facebook rasmi Melaka United hari ini.
KHIDMAT bekas kapten negara,
Safiq Rahim terus ditagih Melaka United, bagi membantu pasukan negeri Hang Tuah
itu untuk satu musim lagi bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2020.
Pemain tengah itu mengikat
kontrak semusim, bersama skuad Sang Kancil dalam satu majlis yang turut
disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen
Li.
Safiq yang ditemui Bernama
berkata, persetujuan itu dicapai, selepas rundingan selama seminggu bersama
persatuan berkenaan, untuk beliau terus menyarung jersi Melaka United.
"Syukur Alhamdulillah, hari
ini saya masih bersama pasukan, selepas sama-sama berbincang dan memilih untuk
bersama pasukan ini bagi musim depan.
"Saya percaya dengan
pembaharuan yang ada dalam pasukan ini, selain barisan pemain yang dibentuk
ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan, Melaka United akan mampu menyerlah dalam
saingan Liga Super akan datang, dan secara peribadi saya akan memberikan yang
terbaik," katanya di sini hari ini.
Sementara itu Damian berkata,
kredibiliti dan pengalaman luas yang dimiliki pemain itu, diperlukan skuad
bimbingan Zainal untuk membantu pasukan bersaing dengan pasukan lain.
"Kami telah tawar menawar
mengenai hal gaji dan beliau faham dengan keadaan kewangan pasukan ini, tetapi
saya sangat suka dengan cara Safiq yang mempunyai semangat tinggi, dalam sukan
bola sepak.
"Beliau juga akan menjadi
kapten musim depan menggantikan Shukor Adan, yang memilih untuk tidak lagi
bersama Melaka United," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata,
bagi kuota pemain import Asia Tenggara, skuad Sang Kancil juga turut terpaksa
melupakan khidmat pemain kebangsaan Filipina Patrick Reichelt yang mengesahkan
beliau telah menandatangani kontrak bersama kelab di Thailand.
"Kita sememangnya mahu
mengekalkan beliau berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, namun menerima
keputusan beliau dan untuk menggantikan tempatnya kita masih lagi mencari
pemain, tetapi jika boleh kita mahu mereka yang pernah beraksi di Liga
Malaysia," katanya.
Tambahnya, sekurang-kurangnya dua
pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT) turut berada dalam radar Melaka United,
salah seorangnya dijangka berada dalam posisi serangan.
Safiq sebelum ini bersama Melaka
United sejak musim 2019 dan membantu skuad Sang Kancil berada di tangga keenam
Liga Super. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/58628/BERITA/Sukan/Safiq-Rahim-kekal-bersama-Melaka-United
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan