ARKIB : 01/01/2010
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
hesham.idris@utusan.com.my
|
permain Malaysia,
Ahmad Fakri (kiri) cuba dihalang oleh pemain Syria di perlawanan persahabatan
bola sepak Malaysia dengan Syria di Stadium Bukit Jalil, semalam.
|
KUALA LUMPUR – Kemenangan besar 4-1 skuad bola sepak negara ke atas Syria,
yang menduduki ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia, adalah satu yang
bukan mustahil.
Ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, walaupun pada awalnya
beliau sendiri agak terkejut dengan jumlah jaringan yang mampu dihasilkan pada
perlawanan persahabatan kelmarin, namun itulah hakikat dalam dunia bola sepak.
‘‘Inilah bola sepak. Kadang kala keputusan seperti ini memang boleh
berlaku. Memang kita tidak menjangka mampu menang besar, tetapi inilah
hakikatnya,’’ katanya.
Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Syria
berada pada kedudukan ke-91 dunia dan ke-12 di Asia.
Ia jauh lebih baik berbanding skuad bola sepak Malaysia yang menduduki
ranking ke-160 dunia dan ke-33 di peringkat Asia.
Namun, di atas padang lain pula yang berlaku apabila skuad Rajagobal
mendominasi perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Tanpa diduga, skuad emas Sukan SEA XXV Laos ternyata bukan tandingan Syria
apabila menang menerusi dua penalti oleh Shafiq Rahim di kedua-dua babak
ditambah jaringan Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-77 dan K. Gurusamy pada
minit ke-90.
Pasukan lawan memperoleh jaringan sagu hati juga menerusi sepakan penalti
pada minit ke-63.
Walaupun apa pun penilaian peminat terhadap kekuatan sebenar lawan Malaysia
kelmarin, Rajagobal tetap menganggap ia kemenangan yang diperlukan menjelang
perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di
Dubai pada 6 Januari ini.
‘‘Kemenangan ini memberikan pemain keyakinan kepada pemain untuk berdepan
UAE pada perlawanan Piala Asia nanti.
‘‘Saya memang mengharapkan prestasi skuad ini konsisten.
‘‘Kita menang ke atas Syria kerana berjaya menghasilkan gerakan-gerakan
yang bagus.
‘‘Saya bangga kerana para pemain meneruskan persembahan menyakinkan setelah
berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA XXV.
‘‘Namun, dalam masa yang sama harap para peminat bersabar kerana perjuangan
kita masih jauh.
‘‘Ada masa kita menang, jadi apabila kalah, para peminat kenalah terima
bahawa ia adalah adat perlawanan,’’ katanya.
Peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 sukar
apabila gagal mengutip sebarang mata dalam Kumpulan C yang dihuni oleh
Uzbekistan dan UAE.
Satu-satunya peluang untuk layak ke pusingan akhir ialah dengan menang
besar ke atas UAE.
Selepas itu, Malaysia terpaksa mengharapkan UAE pula kalah besar apabila
berdepan Uzbekistan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan