Jumaat, 2 Jun 2017

Safiq Rahim terajui kemaraan JDT ke separuh akhir



ARKIB : 17/10/2014
Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
sukan@utusan.com.my

SAFIQ Rahim menanduk bola untuk menjaringkan gol pertama JDT dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu di Johor Bahru malam tadi. JDT menang 3-1. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Safiq Rahim muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila menjaringkan dua gol ketika mereka membenam cabaran Terengganu dengan kemenangan 3-1 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan mengisi slot terakhir ke separuh akhir Piala Malaysia dan akan bertemu Felda United.

Setelah hanya seri tanpa jaringan dalam suku akhir pertama di Kuala Terengganu, sorakan kira-kira 30,000 penyokong sendiri jelas memberikan semangat buat Harimau Selatan untuk menunjukkan taring dengan mempamerkan aksi berbisa sebaik perlawanan bermula.

Gol pertama JDT hadir pada minit ke-16 menerusi Safiq yang menanduk masuk hantaran lintang Mohd. Nazrin Mohd. Nawi dari sebelah kiri.

Selang lima minit kemudian, Luciano Figueroa menambah jaringan buat pasukan tuan rumah setelah menerima lorongan cantik Mohd. Amri Yahyah dengan melakukan rembatan menewaskan penjaga gol Mohd. Sharbinee Allawee.

Skuad Penyu yang beraksi longlai pada babak pertama hanya melakukan satu percubaan tepat ke arah gol menerusi rembatan jarak jauh Mario Karlovic namun diselamatkan Muhd. Al-Hafiz Hamzah.

Bagaimanapun pasukan pelawat menampilkan watak berbeza selepas rehat. Skuad dibimbing Abd. Rahman Ibrahim itu menampilkan corak permainan agresif dan Karlovic sekali lagi mempunyai peluang untuk melakukan jaringan pada minit ke-56 namun percubaannya tepat ke arah Muhd. Al-Hafiz.

Tetapi empat minit kemudian Harimau Selatan tersentak apabila Terengganu merapatkan kedudukan menerusi Ashaari Samsuddin yang menerima bola hantaran jauh.

Namun, jaringan itu menyemarakkan semangat anak buah Bojan Hodak yang kembali menguasai permainan dan hampir menambah jaringan menerusi Jorge Diaz pada minit ke-66 namun pantas diselamatkan pemain pertahanan lawan.

Norshahrul Idlan Talaha yang dimasukkan menggantikan Diaz pada minit ke-70 memperkasakan jentera serangan mengasak benteng pertahanan lawan.

Gerakan yang dimulakan Norshahrul dari sebelah kanan memberi ruang kepada Safiq yang tidak dikawal untuk merembat masuk gol ketiga pada minit ke-74.

Harimau Selatan mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan namun sama ada tersasar atau disekat benteng lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141017/su_03/Safiq-Rahim-terajui-kemaraan-JDT-ke-separuh-akhir#ixzz4iqLoO3OI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan