Jumaat, 9 Jun 2017

Pemain b-20 bebas wakili negeri



ARKIB : 27/12/2005
 
JURULATIH skuad bawah 20 kebangsaan, K. Rajagopal bersama tiga daripada pemain yang berjaya membawa pasukan itu ke pusingan akhir kejohanan bola sepak bawah 20 Asia di India. Para pemain pasukan itu bebas untuk menyertai pasukan kelab atau negeri dalam kempen Liga Malaysia.

PETALING JAYA - Tiada sekatan akan dikenakan ke atas pemain-pemain skuad Bawah 20 negara daripada mewakili pasukan masing-masing dalam kempen Liga Super atau Liga Perdana.

Pengurus pasukan Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, walaupun pasukan itu telah layak ke Kejohanan Bawah 20 AFC tahun depan pemain-pemain tetap memerlukan semua pengalaman yang dapat mereka peroleh.

Katanya, sementara menanti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyiapkan rangka program persediaan pasukan itu sebelum bermulanya kejohanan itu, yang akan berlangsung di India pada Oktober depan, FAM tiada akan menghalang pemain-pemain daripada beraksi dengan pasukan masing-masing.

``Kami akan memanggil program persediaan itu sebagai `Menuju India' di mana kami akan memastikan bahawa selain kem latihan biasa yang diadakan, pemain-pemain akan juga didedahkan kepada perlawanan-perlawanan berkualiti tinggi,'' kata Redzuan, yang juga merupakan timbalan presiden FAM.

``Tidak disangsikan lagi bahawa kita mempunyai sekumpulan pemain yang boleh dibanggakan oleh Malaysia pada masa depan, tetapi apa yang mereka perlukan ialah bermain dengan pasukan-pasukan lebih baik seperti Korea Selatan, Jepun serta dari Timur Tengah seperti Iran dan Arab Saudi.

``Jika anda bercakap tentang memastikan wang dibelanjakan dengan berhemah maka tiada tempat lebih tepat lagi di mana kami perlu memberikan pemain-pemain ini peluang untuk menjadi lebih matang walaupun ia bermakna kami perlu membelanjakan banyak wang ke atas mereka.''

Pasukan negara mara ke India selepas mengalahkan Myanmar dengan agregat 4-3 di peringkat kumpulan pada pertengahan bulan lepas. Satu lagi pasukan dalam kumpulan itu, Brunei menarik diri lebih awal.

Pemain-pemain dalam pasukan yang dibimbing oleh K. Rajagopal itu kini kembali ke pasukan masing-masing di mana kebanyakannya adalah pemain pasukan Liga Perdana Kedah termasuk Khyril Muhymeen Zamri manakala adik beradik Mohd. Zaquan Adha dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pulang ke pasukan Liga Super Negeri Sembilan.

Redzuan bagaimanapun mengingatkan pasukan-pasukan negeri dan kelab walaupun mereka diberi kebebasan untuk menggunakan pemain-pemain itu apabila tiada tugasan antarabangsa, diharapkan mereka digunakan secara berhati-hati.

``Kecederaan sentiasa merisaukan kami dan walaupun kami tidak mengenakan sebarang sekatan, kami harap pasukan-pasukan mereka akan menjaga pemain-pemain ini dengan baik,'' tambah Redzuan.

``Kami akan berkumpul pada awal Januari di mana kami akan berbincang dengan Rajagobal mengenai medan terbaik untuk memberikan pemain-pemain ini pendedahan yang betul.''

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jWngEuuq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan