Ahad, 25 Jun 2017

Iraq, Saudi laluan getir Malaysia



ARKIB : 16/04/2006
KUALA LUMPUR - Malaysia terselamat daripada diundi bersama juara bertahan, Korea Selatan tetapi menghadapi laluan getir kerana menyertai Iraq dan Arab Saudi dalam Kumpulan D pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Belia Asia, Oktober ini.

Undian di Kolkata semalam, turut menyaksikan Vietnam sebagai anggota pelengkap kumpulan ini yang mungkin masih menyimpan dendam kekalahan 0-1 kepada Malaysia, dua tahun lalu.

Malaysia mara ke pusingan akhir di Kolkata dari 29 Oktober hingga 12 November ini setelah menewaskan Myanmar tetapi disekat China 0-3 pada suku akhir 2004 di Kuala Lumpur.

Hanya Aidil Zafuan Razak dan Zaquan Adha Razak serta Safiq Rahim yang kini tercedera lutut, pernah beraksi pada 2004. Malaysia juga merupakan naib juara kejohanan 1959 setelah dikalahkan Korea Selatan 1-2.

Tuan rumah, India pula menyertai Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Jordan membentuk Kumpulan A manakala China, Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia menganggotai Kumpulan B.

Kumpulan C pula menampilkan Jepun, Iran, Tajikistan dan Korea Utara dengan hanya empat pasukan yang mara ke separuh akhir, akan mewakili Asia ke Kejohanan Belia Dunia di Kanada, tahun depan.

Sementara itu, anak didik K. Rajagopal ini tewas 3-5 kepada Balestier Khalsa pada perlawanan pusingan pertama Piala Singapura di Stadium Toa Payoh, Singapura, semalam.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Farderin Kadir pada minit ke-45, Khyril Muhaymeen, tiga minit kemudian dan penyerang utama pasukan, Zaquan pada minit terakhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l41l3bfc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan