Jumaat, 16 Jun 2017

Kalah bukan penamat perjuangan - Safiq

RABU, 14 JUN 2017 @ 4:41 PM
Oleh Rizar Mohd Noor rizar@bh.com.my KAPTEN skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Kapten skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim tidak menganggap kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019, malam tadi sebagai penamat perjuangan Harimau Malaya. Sebaliknya, dia optimis Harimau Malaya akan bangkit dalam aksi seterusnya dengan pengendali pasukan, Nelo Vingada bakal membuat pembaharuan drastik bagi memastikan corak permainan yang tampak sudah ada peningkatan akan lebih konsisten.

       Katanya, pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu kesemua pemain sudah memberi yang terbaik terutama di babak pertama namun kegagalan untuk mengekalkan kelebihan selepas mendahului Lubnan menyaksikan pasukan lawan bangkit mencipta kemenangan.

     "Saya tidak nafikan pemain nombor 20 (Rabih Ataya) yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua memiliki kualiti permainan yang baik dengan sering mengkucar-kacirkan benteng sebelum menjaringkan dua gol.

 "Apapun ia pengalaman berguna buat kami dan kami berjanji tidak mengulangi kesilapan sama lagi pada aksi seterusnya," kata Syafiq yang dilantik semula mengetuai pasukan selepas keluar daripada persaraan sejak Julai tahun lalu.

      Safiq mengakui dia dan rakan sepasukan juga masih memerlukan masa untuk memahami falsafah permainan yang mahu diterapkan Vingada selepas hanya mempunyai tempoh dua minggu berlatih bersama jurulatih kelahiran Portugal itu.

"Saya yakin kami akan lebih memahami corak yang diterapkan Vingada dan tampil lebih mantap pada aksi kedua menentang Hong Kong 5 September nanti," katanya


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/292920

Tiada ulasan:

Catat Ulasan