Isnin, 28 Jun 2021

Letih punca JDT tewas

Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my



PEMAIN Pohang Steelers, Boris Tashti (tengah) meraikan jaringan menerusi penalti ketika menentang JDT di Bangkok. FOTO AFP

Johor Bahru : Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tetap mempertahankan pemainnya susulan kesilapan dilakukan sehingga mereka dihukum dengan tiga penalti ketika tewas 1-4 kepada Pohang Steelers, semalam.

Malah pengendali kelahiran Mexico itu tetap berpuas hati dengan komitmen setiap pemain yang berhempas pulas menyaingi skuad kendalian Kim Gi-dong pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand.

Katanya, faktor keletihan juga menjadi punca JDT tewas selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat selain corak permainan lawan yang lebih gemar beraksi dengan tempo perlahan.

"Saya tidak salahkan pemain yang menyebabkan pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti dan itu lumrah dalam bola sepak yang kita tidak boleh elak. Apapun pujian buat pemain JDT yang beri tentangan sengit.

"Bagaimanapun, dalam permainan bola sepak banyak perkara berada di luar kawalan seperti cuaca, beraksi dalam hujan, padang becak dan layangan kad untuk Mauricio (Dos Santos) juga menjejaskan rentak permainan.

"Malah, kami juga keletihan selepas mengharungi saingan padat ACL tapi tetap mengasak ke kubu lawan terutama pada babak kedua dan mencipta peluang namun gagal melakukan penyudah," katanya.

Pada aksi itu, tiga sepakan penalti dihadiahkan pengadil dari Australia, Shaun Evans buat Pohang Steelers bagaikan meranap tempo permainan skuad Harimau Selatan selepas mendahului lawan menerusi gol Leandro Velazquez.

Disiarkan pada: Jun 29, 2021 @ 12:13pm.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724071/letih-punca-jdt-tewas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan