Jumaat, 25 Jun 2021

Leandro pastikan 3 mata buat JDT



PEMAIN JDT meraikan kejayaan menumpaskan Ratchaburi FC dalam aksi ACL di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini. - IHSAN AFC

Oleh Meja Sukan

26 Jun 2021, 12:30 am

PETALING JAYA: Jaringan tunggal Leandro Velazquez membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 selepas menumpaskan kelab Thailand, Ratchaburi FC 1-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.

Tiga mata berharga yang diraih membolehkan anak-anak buah Benjamin Mora melonjak ke tangga kedua Kumpulan G di belakang Nagoyan Grampus yang menumpaskan Pohang Steelers 3-0 dalam satu lagi perlawanan.

Selepas tewas tipis 0-1 kepada Nagoya pada aksi pembukaan, Harimau Selatan menunjukkan kesungguhan untuk bangkit dalam pertembungan di antara dua kelab Asia Tenggara yang berusaha mencari kemenangan pertama.

Bagaimanapun JDT diuji seawal minit kelima selepas Steevan Langil yang berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan melepaskan rembatan rendah, namun diselamatkan penjaga gol, Farizal Marlias.

PEMAIN JDT menunjukkan permainan menyerang ketika berdepan Ratchaburi dan berpeluang meraih gol lebih besar. – IHSAN AFC

Itu satu-satunya percubaan bahaya yang dilancarkan Ratchaburi pada babak pertama kerana JDT lebih banyak menguasai permainan dan melakukan serangan bahaya, malah hampir membolosi gawang lawan menerusi Safiq Rahim pada minit kesembilan tetapi tandukannya melepasi palang.

Bergson da Silva turut menjadi ancaman besar buat Ratchaburi apabila rembatannya terkena palang pada minit ke-19.

Harimau Selatan menjangkakan mereka mampu mendahului pada minit ke-29 selepas dihadiahkan sepakan penalti kerana Bergson dikasari oleh pertahanan lawan.

Bagaimanapun penjaga gol Ratchaburi, Kampol Pathomakkakul berjaya membaca dengan tepat tendangan penyerang Brazil itu.

Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung, JDT akhirnya memecah kebuntuan selepas Leandro menyudahkan hantaran Safiq.

Jaringan itu membuatkan Harimau Selatan makin bersemangat, dan hampir membolosi gawang lawan buat kali kedua pada minit ke-53 apabila Arif Aiman Hanapi melakukan hantaran cantik kepada Leandro yang tidak dikawal, namun pemain tengah Argentina itu mensia-siakan peluang.

Harimau Selatan sekali lagi memperoleh peluang pada minit ke-66, namun percubaan jarak jauh Safiq melewati palang, manakala tendang lencong Safawi Rashid dua minit berselang sedikit tersasar.

JDT bakal berdepan cabaran getir kelab Korea Selatan, Pohang Steelers, Isnin depan, manakala Ratchaburi akan menentang Nagoya.1

________________________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/leandro-pastikan-3-mata-buat-jdt/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan