Sabtu, 19 Jun 2021

ACL gamit Safiq

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



SAFIQ kembali memperkuatkan skuad Harimau Selatan terutamanya menjelang aksi pertama saingan ACL. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Selepas dua musim meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT), tonggak tengah berpengalaman Safiq Rahim kembali memperkuatkan skuad Harimau Selatan terutamanya menjelang aksi pertama saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab dari Jepun, Nagoya Grampus di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam esok.

Safiq, 34, yang pernah mengetuai JDT menjulang satu lagi kejuaraan di peringkat Asia iaitu Piala AFC pada 2015 selain dinobatkan pemain paling bernilai dalam kejohanan itu pastinya mahu mengulangi pencapaian sama, dengan cabaran di ACL dilihat lebih getir.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu berazam untuk memberikan aksi terbaik dan mengharapkan doa serta sokongan peminat bola sepak tempatan.

"Alhamdulillah, akhirnya mimpi menjadi kenyataan (dapat membuaat penampilan di ACL). Insya-Allah, akan berikan aksi yang terbaik. Doakn yang terbaik untuk JDT," tulisnya di laman sosial Instagram sportsrevobysafiqrahim.

Di Bangkok, anak buah Benjamin Mora diletakkan dalam Kumpulan G bersama Nagoya Grampus, Ratchaburi FC (kelab Thailand) dan FC Pohang Steelers (kelab Korea Selatan) yang akan dimainkan secara dua pusingan.

Ini adalah penampilan kedua JDT di peringkat kumpulan ACL selepas 2019 dan 2020, namun pada tahun lalu pasukan terpaksa menarik diri ekoran larangan keluar negara susulan pandemik Covid-19.

Sebelum ini Safiq yang juga pemain dari produk pembangunan Selangor pernah menyertai JDT dari 2013 hingga 2018 sebelum berpindah ke Melaka United.

Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan, pemain kelahiran Kuala Selangor Safiq itu adalah bekas ketua pasukan JDT yang membantu pasukan menjulang lima kejuaraan Liga Super, empat Piala Sumbangsih, sekali Piala Malaysia dan Piala FA serta Piala AFC.

Di peringkat antarabangsa, dia antara tunjang belakang kepada kejayaan skuad Harimau Malaya memenangi Piala AFF buat pertama kali pada 2010 selain menggenggam pingat emas di Sukan Sea Laos 2009.Disiarkan pada: Jun 20, 2021 @ 1:02pm.1

_________________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan