Jumaat, 2 November 2018

Selamat tinggal JDT


 
02 November 2018 2:26 PM
KUALA LUMPUR 2 Nov. -  Selepas beberapa minggu spekulasi bertiup kencang, Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya mengesahkan kapten yang paling berjaya dalam sejarah kelab, Safiq Rahim akan meninggalkan mereka.

Bintang tengah berusia 31 tahun itu dikhabarkan mahu bertukar angin dengan menyertai kelab di luar negara.

Perkara itu diumumkan sendiri pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, hari ini.

Menurut Tunku Ismail, pemergian Safiq satu kehilangan besar memandangkan bintang tengah itu memainkan peranan utama dalam kejayaan JDT.

“Selamat maju jaya diucapkan kepada Safiq Rahim. Dari pandangan ikhlas saya, beliau adalah pemain yang paling berjaya sekali dalam JDT dan sudah banyak membantu JDT untuk mencapai matlamat-matlamat kami.

“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan saja sudah memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya. 

Sepanjang enam musim bersama JDT, Safiq telah merangkul semua kejuaraan utama di Malaysia seperti Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Namun, kejayaan paling istimewa yang tidak akan dilupakan adalah menjuarai Piala AFC 2015. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selamat-tinggal-jdt-1.780023#ixzz5VgnpsMar
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan