Jumaat, 2 November 2018

Ke mana hala tuju Safiq Rahim selepas JDT?


 
Khairul NizamKhairul Nizam
Selepas enam tahun bersama Johor Darul Ta’azim, pemain tengah Safiq Rahim kini sah akan meninggalkan pasukan juara Liga Super 2018 itu. Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC telah dimenangi oleh pemain berusia 31 tahun itu. Jadi, ke manakah hala tuju Safiq Rahim selepas JDT? Biarpun ada dikatakan bahawa dia akan beraksi di luar negara, tetapi banyak pasukan di Malaysia sendiri yang pastinya berebut mahu mendapatkan pemain tengah yang hebat seperti Safiq Rahim. Mari kita lihat pasukan-pasukan yang pastinya sesuai untuk Safiq.

PKNS
Photo sourced from PKNS FC Facebook
Bayangkan penyatuan semula skuad juara Piala AFF 2010. Safee Sali, Mahalli Jasuli dan Safiq Rahim bergabung semula di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal. Biarpun mungkin tidak sebesar Selangor, tetapi pastinya PKNS memerlukan seorang pemain tengah kreatif seperti Safiq Rahim. PKNS beraksi di Liga Super dan mempunyai skuad yang kuat untuk bersaing, jadi kenapa tidak mereka menambah Safiq Rahim untuk membantu mereka mara lebih jauh?
Selangor
Bagai sirih pulang ke gagang. Safiq Rahim merupakan anak jati Selangor. Dia memulakan kerjayanya bersama Selangor dan hasil prestasi baiknya bersama Selangor, dia terpilih mewakili skuad kebangsan dan akhirnya berpindah ke JDT. Selangor mempunyai perancangan besar untuk bersaing merebut kejuaraan musim hadapan, jadi mungkin Safiq Rahim boleh mengikut jejak langkah seorang lagi pemain Selangor, Amri Yahyah untuk kembali menyarung jersi Merah Kuning.
Perak
Setakat ini Safiq Rahim banyak dikaitkan dengan kepulangan ke Lembah Klang dan itu bukan satu perkara mengejutkan. Namun, mungkin juga pasukan seperti Perak boleh mencuba mendapatkan Safiq. Kenapa? Mereka akan beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia, dan pastinya pengalamannya beraksi di Piala AFC dan keinginan Safiq untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia mampu membantu Perak.

Kuala Lumpur
Satu lagi pasukan Lembah Klang. Secara realistiknya mungkin sukar melihat Safiq Rahim menyarung jersi skuad anak kota. Namun, mungkin juga Kuala Lumpur mahu seorang pemain berpengalaman untuk memimpin pasukan dan bahagian tengah skuad itu, sama seperti apa yang dilakukan oleh Indra Putra Mahayuddin pada musim ini? Safiq Rahim mampu membantu untuk membentuk Irfan Zakaria menjadi seorang pemain tengah yang lebih baik dan membantu mengurangkan beban Paulo Josue.
SUMBER- https://www.foxsports.com.my/uncategorized/20625/ke-mana-hala-tuju-safiq-rahim-selepas-jdt/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan