Sabtu, 10 November 2018

'Bukan kerana desakan TMJ'

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim mahu isu penghijrahannya ke pasukan baharu dihentikan dan meminta supaya pihak menghormati keputusan itu.

Safiq yang menyertai JDT pada 2013 dari Selangor, sah akan meninggalkan kelab Harimau Selatan itu dan kemungkinan menyertai kelab luar negara pada musim depan.

Menurut pemain tengah itu, keputusan berkenaan bukannya disebabkan desakan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebaliknya atas kehendak sendiri untuk mencari cabaran baharu.

“Saya ingin tegaskan di sini, tiada apa-apa atau sesiapa yang mempengaruhi pemergian saya. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa.

“Ia keputusan bersama demi kepentingan kelab dan saya sendiri. Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi hingga memburukkan keadaan antara dua pihak,” katanya di laman Instagram miliknya, hari ini.

Pada minggu lalu, teka-teki mengenai masa depan Safiq terjawab apabila Tunku Ismail mengesahkan bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu bakal meninggalkan pasukan itu selepas beraksi selama enam musim.

Sepanjang tempoh itu, dia sudah memenangi pelbagai trofi termasuk menjulang lima kejuaraan Liga Super berturut-turut sejak 2014, Piala AFC 2015, Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.

Pakar sepakan percuma itu juga pernah dinobat sebagai pemain paling bernilai pada aksi final Piala AFC yang menyaksikan JDT berjaya menundukkan kelab dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 sekali gus muncul pasukan pertama negara dan Asia Tenggara menjulang trofi berkenaan.

Menurut Safiq lagi, Tunku Ismail sentiasa mengalu-alukan kedatangannya sekiranya berhasrat untuk kembali bersama kelab itu.

“Jika ada rezeki, saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya dan pemain yang lain untuk kembali.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kelab terutamanya TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang mempercayai saya. Enam tahun mungkin tak cukup untuk saya balas budi baik Tunku Ismail dan JDT.

“Ia satu penghargaan besar dapat bersama dalam keluarga JDT dan mengecapi kejuaraan bersama. Terima kasih semua termasuk penyokong Merah Biru,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 3:06 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan