17 Mac 2016
12:27 AM
MOHD. HAFIZ
KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara
MOHD. HAFIZ
KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara di Wisma FAM, Petaling Jaya
semalam. UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR –
Pemain tengah Selangor, Mohd. Hafiz Kamal berharap dapat menggunakan
kepakarannya dalam mengambil sepakan bebas untuk membantu skuad Harimau
Malaysia memperoleh gol seterusnya mencipta kemenangan dalam kelayakan Piala
Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi di Stadium King Abdullah pada
24 Mac.
Hafiz yang
berkebolehan untuk menjaringkan gol menerusi situasi bola mati menggunakan kaki
kirinya bersedia untuk bergandingan dengan kapten Mohd. Safiq Rahim, yang
merupakan pilihan pertama untuk mengambil sepakan bebas, sekiranya dia
diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Pertamanya,
saya perlu berusaha untuk dimasukkan ke dalam skuad utama, bagaimanapun itu
semua atas kuasa jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) untuk menentukannya.
“Bagi saya
kelebihan dalam mengambil sepakan bebas ini merupakan salah satu kelebihan
yang kita ada untuk membantu pasukan mencipta gol dan saya fikir kita mampu
menghasilkannya (gol),” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di
Wisma FAM semalam.
Seandainya
pengendali skuad kebangsaan Kim Swee meletakkan Hafiz dan Safiq untuk beraksi
dalam kesebelasan utama menentang Arab Saudi nanti pasukan negara dilihat mampu
mencipta gol kerana kedua-dua pemain tersebut berkebolehan menyempurnakan
sepakan bebas dengan baik.
Hafiz sebelum
ini pernah menjaringkan gol bersama skuad Red Giants pada musim ini hasil
sepakan bebas dengan menggunakan kaki kirinya manakala Safiq menggunakan kaki
kanan dan situasi tersebut seharusnya digunakan dengan baik oleh skuad negara.
Dalam pada itu,
Hafiz yakin skuad negara mampu menyaingi Arab Saudi dengan syarat tidak terlalu
menghormati pasukan lawan.
“Bagi saya
pasukan dari negara Arab fizikal mereka dianggap sebagai satu kelebihan dan
pada pendapat saya corak permainan lebih kurang sama. Mungkin kita terlalu
hormat kepada mereka.
“Untuk aksi
sulung skuad negara tahun ini, saya fikir kita harus menang untuk menutup suara
penyokong yang mengkritik pasukan selepas kita kalah teruk tahun lalu,” katanya
lagi.
Skuad negara
sebelum ini pernah dimalukan oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 10-0 dalam aksi
dwikelayakan tersebut.
Sebagai rekod,
ini merupakan kali kedua Hafiz dipanggil menyertai skuad negara selepas kali
terakhir sewaktu menewaskan Timor Leste 1-0 dalam aksi dwikelayakan itu di
tempat lawan sebelum terpaksa disingkirkan apabila dia mengalami kecederaan
buku lali.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-ada-dua-8232-pakar-sepakan-bebas-1.201252#sthash.zNrZjhXD.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan