Sabtu, 18 Mei 2019

Safiq kekal bersama Melaka


SUKAN»Bola
Sabtu, 18 Mei 2019 | 12:02pm
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
MELAKA: Tiada sebarang pelepasan diberikan kepada perancang tengah Melaka United, Safiq Rahim untuk menyertai mana-mana pasukan pada perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim, berkata tiada perundingan dan perbincangan antara persatuan itu dengan skuad lain yang dikatakan berminat menawarkan tempat buat bekas kapten kebangsaan terbabit.

Beliau juga menafikan sebarang usaha MUSA meminjamkan pemain terbabit kepada pasukan yang kini bersaing di Liga Super.

Beliau berkata, walaupun terdapat 'cerita' mengenai perpindahan pemain itu namun ia bukan menerusi saluran persatuan terbabit.

"Dengan ini saya mengesahkan Safiq akan terus bersama Hang Tuah sepanjang musim ini. Ia berikutan kelibatnya nyata memainkan peranan besar dalam perjalanan pasukan di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

"Pastinya kemantapan pasukan akan terjejas tanpanya di barisan tengah, tambahan keserasiannya bersama rakan sepasukan kian menyerlah,” katanya.

Sebelum ini peminat bolasepak tempatan menyatakan Safiq bakal menyertai Kedah sehingga penyokong Melaka jelas terkejut.

Bagi Farhan, jika perkara itu benar, sudah pasti skuad berkenaan bakal pincang berikutan Safiq adalah tunjang utama.

Sehubungan itu, Farhan berkata setakat ini hanya empat pemain dipinjamkan kepada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana membabitkan G Gopinathan ke PDRM, Wan Shukri Wan Ahmad dan Anselmo Casagrande (Pulau Pinang), Nurshamil Abd Ghani (Selangor United) serta Darko Markovic (Kuala Lumpur).
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 18 Mei 2019 | 12:02pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan