Rabu, 21 Mac 2018

Harimau Malaya tidak mahu anggap mudah hadapi Mongolia


SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersalaman dengan kapten Mongolia,
SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersalaman dengan kapten Mongolia, Turbat Daginaa sambil diperhatikan Tan Cheng Hoe (kanan) dan jurulatih Mongolia, Michael Weiss dalam sidang akhbar mengenai perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Mongolia di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
22 Mac 2018 3:00 AM

KUALA LUMPUR 21 Mac – Kehebatan pahlawan legenda, Genghis Khan bakal menjadi pendorong kepada pasukan bola sepak Mongolia untuk menentang Malaysia dalam aksi persahabatan kelas A di di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, walaupun Mongolia merupakan pa­sukan ranking lebih rendah iaitu 189 berbanding Malaysia 178, namun untuk menewaskan pasukan berkenaan bukan perkara mudah.


Menurut bekas pengendali Kedah itu, pertemuan tersebut me­rupakan aksi pertama Malaysia di pentas antarabangsa pada tahun ini.

“Ini kali pertama Malaysia menentang Mongolia (skuad senior) dan saya tidak dapat banyak maklumat mengenai mereka. Mongolia sudah mula melakukan jelajah untuk mengadakan aksi persahabatan dan mereka melakukan persiapan selama dua minggu di China.

“Mungkin dari segi teknikal, Mongolia tidak begitu baik namun semangat juang mereka tinggi dan saya percaya mereka mempunyai semangat juang sama macam Genghis Khan yang pernah menawan China satu masa dahulu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media rasmi perlawanan di Wisma FAM hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe enggan memberi tekanan kepada pemainnya walaupun ketika ini peminat Harimau Malaya begitu mendambakan kejayaan selepas Malaysia gagal melakar sebarang kemenangan daripada 10 perlawanan sepanjang 2017.

“Ini adalah perlawanan pertama Malaysia untuk 2018 dan merupakan permulaan yang terbaik untuk pemain beraksi di pentas antarabangsa. Saya tidak memberi tekanan kepada pemain kerana mereka sudah lama tidak dikumpulkan bersama.

“Saya berharap pemain bersemangat untuk bermain dalam satu pasukan. Saya mahu pemain menikmati perlawanan ini dan bermain untuk maruah negara dan bukannya kerana terpaksa,” katanya.

Dalam pada itu, kapten Malaysia, Safiq Rahim berkata, walaupun pemain Mongolia majoritinya berasal daripada semi profesional yang terdiri daripada pelajar dan bermain bola sepak separuh masa, itu bukan bermakna Harimau Malaya boleh memandang rendah terhadap lawan mereka itu.

“Kita perlu bermain seperti satu keluarga. Kami perlukan nafas baharu dan kami tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan Mongolia. Kami perlu dahulukan pasukan sendiri sebelum memikirkan pasukan lain.

“Sebagai pemain, kami sememangnya menitik beratkan ran­king negara dan sebab itu kami perlu mendapatkan keputusan terbaik untuk pasukan. Diharapkan pemain negara lebih bersedia untuk memperbaiki kedudukan ranking,” katanya.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Stadium Bukit Jalil ialah pada 16 Jun 2015 selepas dibelasah 0-6 oleh Palestin dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di bawah kendalian Dollah Salleh.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-tidak-mahu-anggap-mudah-hadapi-mongolia-1.632486#ixzz5ARZIa2N6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan