Rabu, 20 Disember 2017 | 1:42pm
BEKAS pemain kebangsaan, Bakri
Ibni masih menanti apakah tindakan bakal diambil oleh FAM dalam menangani isu
kontroversi membabitkan kapten JDT, Safiq Rahim ketika final Piala Malaysia
lalu.
Apa sudah berlaku dengan kes
Safiq?
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KONGSI ARTIKEL
KUALA LUMPUR: Sikap membisu
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden membabitkan kapten Johor
Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim ketika final Piala Malaysia lalu mencetuskan
tanda tanya bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni.
Katanya, selepas hampir dua
bulan ia berlaku, beliau masih menanti apakah tindakan bakal diambil oleh FAM
dalam menangani isu kontroversi berkenaan kerana sehingga kini tiada sebarang
perkembangan baru mengenainya.
"Sebagai peminat bola
sepak saya hendak tahu perkembangan kes itu. Saya rasa bukan saya seorang,
malah peminat lain pun tertanya-tanya apa kesudahannya.
"Sudah hampir dua bulan
berlalu tapi nampaknya ia senyap begitu saja. Persoalannya, adakah Jawatankuasa
Disiplin FAM sudah membincangkannya atau kes ini dibiarkan senyap begitu saja?
"Mungkin saya terlepas
pandang atau tidak mengikuti perkembangan. Mungkin juga FAM sudah mengambil
tindakan tanpa menghebohkan kepada umum.
"Tapi, setahu saya, FAM
tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung insiden ini selepas ia heboh
diperkatakan selain ramai mendesak agar badan induk itu mengenakan tindakan
disiplin ke atas Safiq," katanya.
Safiq menerima kecaman apabila
mengeluarkan perkataan berbaur lucah di depan wakil media yang sedang merakam
detik manis kejayaan JDT menjuarai Piala Malaysia selepas mengatasi Kedah, 2-0
di Stadium Shah Alam pada 4 November lalu.
Menerusi rakaman video yang
viral di laman sosial itu, Safiq dikesan mengeluarkan kata-kata "P...
kepada semua pengkritik, wa (saya) champion (juara)".
Mengulas lanjut, Bakri berkata,
beliau tidak berniat mengungkit atau 'memanaskan' semula isu itu, namun
berpendapat sesuatu perlukan dilakukan FAM demi menjaga integriti serta nama
baik badan induk berkenaan.
"Ia bagi mengelak FAM
dituduh mengamalkan sikap pilih kasih atau berat sebelah kerana beberapa kes
sebelum ini sudah dikenakan tindakan disiplin termasuk kes seorang pemain
menunjukkan isyarat lucah kepada penonton.
"Jadi, saya berharap FAM
tidak terlepas pandang isu ini atau menutup mata begitu saja. Paling tidak,
Safiq perlu diberi amaran keras atas perbuatannya itu," katanya.
Pada masa sama, bekas pemain
kebangsaan itu meminta Safiq tampil untuk membuat permohonan maaf secara
terbuka kepada penyokong.
"Sebagai pemain senior,
apatah lagi kapten skuad JDT dan kebangsaan, Safiq perlu mempunyai jiwa besar
untuk tampil mengakui kesilapannya serta memohon maaf. Dengan cara ini, peminat
akan lebih menghormati dia," katanya.
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE 20 Disember 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan